SEPANG: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mahu ‘set semula’ dirinya bagi mencari semula prestasi tahap tertinggi menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Menurut penerjun berusia 25 tahun itu berkata beliau mahu ‘berehat’ buat seketika demi mencari semangatnya yang hilang untuk kembalikan semula fizikal dan mentalnya sedia kala dalam sukan terjun.
“Saya belum pasti lagi. Saya hanya mahu memikirkan tentang diri saya sahaja. Ianya seperti saya perlu ‘reset’. Saya rasa saya perlu ‘reset’ diri saya.
“Jadi langkah saya seterusnya adalah saya ada pelan untuk diri saya. Saya masih dalam perancangan dan mahu hanya berehat,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Dhabitah sebelum ini melayakkan diri ke Olimpik Paris pada saat akhir menerusi ‘unused quota’ mengakibatkan beliau tidak dapat menjalani persiapan dan latihan yang mencukupi.
Sementara itu, Dhabitah berkata biarpun menjalani latihan yang singkat dan padat, beliau tidak pernah sesekali berasa menyesal kerana sudah memberikan yang terbaik di Olimpik Paris
“Saya berpuas hati. Mungkin ini bukan keputusan yang kita mahu tetapi saya dan jurulatih tidak menyesali apa-apa.
“Kita dah berikan semuanya. Banyak perkara yang boleh dilakukan tetapi masa menjadi musuh saya kini,” katanya.
Dhabitah menamatkan saingan di Paris menduduki tangga tercorot pada aksi final 3 meter (m) papan anjal wanita, Jumaat lalu. – UTUSAN










