Angin ahmar ragut tanggungjawab suami

Angin ahmar ragut tanggungjawab suami

NOOR Husniza Mohd. Hussain (kanan) terpaksa mengehadkan aktiviti berniaga kerana menumpukan kebajikan Rosli Mustappa di Perumahan Ibul Tunggal di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peniaga makanan berdepan ujian cukup getir dalam hidup apabila suaminya diserang angin ahmar selepas pulang berniaga di Simpang Ibul Tunggal di sini, hujung tahun lalu.

Peniaga berkenaan, Noor Husniza Mohd. Hussain, 47, berkata, suaminya, Rosli Mustappa, 50, adalah pengge­rak utama perniagaan makanan yang diusahakan mereka sejak 10 tahun lalu.

“Tetapi kini saya terpaksa membuat kerja seorang diri termasuk membeli barang ke­perluan berniaga, bangun awal membuat persiapan serta me­ngangkut bahan masakan dan membersihkan kedai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kami.

“Sebelum ini, kami memperoleh pendapatan RM200 sehari dalam tempoh 20 hari berniaga, tetapi kini kurang daripada jumlah berkenaan kerana saya tidak mampu menguruskan perniagaan lebih-lebih lagi cuma be­kerja seorang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Noor Husniza, suaminya diserang angin ahmar hujung tahun lalu selepas me­nutup kedai pada sebelah malam dan ketika kejadian dia pulang awal menguruskan anak.

“Suami rebah di hadapan kedai sebelum menaiki kereta untuk pulang ke rumah. Kejadian disedari oleh seorang jiran (pekedai) sebelah dan terus membe­ritahu saya keadaan suami.

“Dia (suami) mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama dua minggu, kemudian pulang ke rumah dan keadaannya terlantar,” katanya.

Katanya, sehingga kini suaminya tidak boleh mengangkat tangan, tidak boleh bercakap dan perlu berkerusi roda untuk dibawa ke Hospital Bandar Pusat Jengka dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk fisioterapi serta pemulihan bercakap.

“Sejak suami sakit, saya sudah berbelanja hampir RM20,000 berulang-alik ke hospital bagi rawatan termasuk pengangkutan dan tempat tinggal yang melibatkan masa menunggu melebihi dua hari.

“Selain berniaga, saya terpaksa menguruskan perbelanjaan anak bongsu berusia 18 tahun yang ditawarkan menyambung pelajaran peringkat diploma di Kolej Vokasional Puteri, Temerloh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN