Anggota PGA cedera di mulut, siku, muka kejar pengedar dadah

Anggota PGA cedera di mulut, siku, muka kejar pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang anggota Bahagian Risik Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta cedera kerana terbabas ketika mengejar pengedar dadah di kawasan Ladang Chuping, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, dua anggota PGA yang menunggang motosikal di kawasan berkenaan terserempak dengan dua lelaki mencurigakan juga menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, melihat dua anggota PGA itu, kedua-dua lelaki itu melarikan diri.

“Dalam masa sama, salah seorang suspek telah membuang objek ke dalam kawasan semak lokasi kejadian. Ketika mengejar suspek, seorang anggota telah hilang kawalan lalu terbabas dan suspek turut berjaya melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, akibat kemalangan itu, seorang anggota PGA mengalami kecederaan di bahagian muka, lutut dan siku.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dibuat terhadap objek yang dijumpai itu mendapati terdapat sebuah beg galas berwarna hitam dan merah mengandungi satu beg plastik berwarna hitam.

“Pemeriksaan lanjut menemui ketulan mampat dibalut aluminium foil dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran seberat tiga kilogram,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati dadah dipercayai ganja itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus di kawasan sempadan Padang Besar.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM9,300 dan boleh digunakan oleh seramai kira-kira 3,000 pengguna.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum gantung boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan,” katanya

Tambahnya, Polis Padang Besar memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN