Penduduk tiga kampung alami masalah capaian internet

Penduduk tiga kampung alami masalah capaian internet

PENDUDUK cuba mendapatkan capaian internet di kawasan lapang di kampung mereka di Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kira-kira 1,000 penduduk dari tiga buah kampung di sini berdepan masalah capaian internet kerana ketiadaan menara telekomunikasi di sekitar kawasan tersebut.

Majoriti penduduk kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Kurong Dalam, Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Kurong dan Kampung SMTD, di mana mereka sukar membuat panggilan telefon, berinteraksi menerusi WhatsApp dan menguruskan tugas rutin harian ekoran capaian internet yang lemah.

Seorang suri rumah, Siti Salwa Harun, 36, mendakwa, masalah capaian internet lemah telah berlaku sejak awal tahun 2000 berpunca daripada pertambahan penduduk, penggunaan data yang tinggi pada waktu puncak dan semasa musim perayaan serta cuti persekolahan.

“Sukar jugalah terutamanya jika berlaku kecemasan kerana saya perlu pergi ke jalan utama baru dapat internet untuk berhubung dengan orang lain.

“Selain itu, pada waktu puncak terutamanya pada waktu tengah hari dan pukul 8 malam sebaik sahaja penduduk balik kerja, capaian internet lemah, malah kadang-kadang langsung tiada internet. Keadaan ini menyukarkan penduduk untuk berkomunikasi menggunakan WhatsApp selain anak-anak membuat kerja-kerja sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, selain perlu pergi ke jalan utama, penduduk kampung perlu pergi ke kawasan lapang sebagai alternatif.

Sementara itu, Setiausaha Kampung Sungai Kurong, Mohd. Tarmizi Kassim berharap selepas aduan dikemukakan kepada pihak berkenaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir, masalah berbangkit itu diharap dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut Mohamad Yusri, sebagai tindakan pro-aktif, SKMM telah melawat ketiga-tiga kampung tersebut hari ini untuk tinjauan lapangan dan bakal mengatasi masalah itu secara berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN