Pengurus kilang tidak mengaku sorok stok minyak sawit mentah - Utusan Malaysia

Pengurus kilang tidak mengaku sorok stok minyak sawit mentah

T. R. Logeswaran (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan menyembunyikan jumlah sebenar stok minyak sawit mentah di sebuah kilang dengan mengemukakan data pengeluaran yang tidak tepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengurus kilang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan jumlah sebenar stok minyak sawit mentah di sebuah kilang dengan mengemukakan data pengeluaran yang tidak tepat.

Tertuduh, T. R. Logeswaran, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau dengan mengemukakan data pengeluaran minyak sawit mentah dalam Summary of Production and Despatch Record (SPDR) dan Finished Goods System (FGS) berjumlah 741.618 tan metrik.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat memperdayakan syarikat supaya menerima dan mengguna pakai kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kuala Lumpur Kepong Berhad, Wisma Taiko, di Ipoh antara 14 Mac hingga 21 Jun 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin daripada kalangan ahli keluarga tertuduh.

Beliau turut memohon agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela, Kiranjeet Kaur Sidhu memohon mahkamah agar tidak menyita pasport anak guamnya kerana diperlukan untuk urusan pekerjaannya di Afrika Selatan.

Katanya, Logeswaran yang kini berada di Malaysia untuk cuti tahunan akan berdepan kesukaran sekiranya pasportnya disita kerana ia menjejaskan pekerjaannya di luar negara.

“Anak guam saya perlu kembali bekerja untuk menyara isteri, dua anak berusia dua dan lima tahun serta ibu bapa yang uzur.

“Anak sulung tertuduh menghidap gangguan spektrum autisme manakala anak bongsunya dilahirkan pramatang dan memerlukan rawatan berterusan dengan kos kira-kira RM2,500 sebulan,” katanya

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga serta menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN