KUALA LUMPUR: Sebanyak 315 daripada 853 kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan setakat Mei lalu manakala 363 lagi permohonan pewartaan sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa negeri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, langkah itu merupakan antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) susulan syor dikemukakan menerusi inkuiri nasional berkaitan hak masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata, meskipun mahkamah telah mengiktiraf kewujudan hak adat Orang Asli, cabaran utama masih tertumpu kepada proses pewartaan tanah di peringkat kerajaan negeri serta keperluan menyelaraskan undang-undang tanah sedia ada.
“Pada masa ini, pengiktirafan tanah Orang Asli dilaksanakan melalui pewartaan di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dan Kanun Tanah Negara 1965.
“Berdasarkan data sehingga Mei 2026, daripada 853 KOA yang diiktiraf, sebanyak 315 kampung atau 37 peratus telah berjaya diwartakan manakala permohonan pewartaan bagi 363 kampung lagi atau 42.5 peratus telah dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri untuk kelulusan.
“Selain itu, sebanyak 68 KOA masih dalam proses pengukuran oleh juruukur tanah berlesen bagi tujuan pewartaan,” katanya ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Rubiah berkata, kepentingan masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam sebarang pembangunan tanah terus dilindungi menerusi peruntukan Seksyen 11 dan Seksyen 12 Akta Orang Asli 1954.
Katanya, Jakoa berperanan sebagai pemudah cara antara semua pihak berkepentingan bagi memastikan Orang Asli menerima pampasan yang adil dan setimpal, sekiranya projek pembangunan menjejaskan tanah, budaya serta cara hidup mereka.
“Kepentingan Orang Asli yang terlibat dalam mana-mana pembangunan tanah turut dilindungi melalui peruntukan Seksyen 11 dan Seksyen 12 Akta Orang Asli 1954.
“Jakoa berperanan sebagai pemudah cara dengan pihak yang terlibat bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pampasan yang wajar sekiranya pembangunan yang dilaksanakan menjejaskan budaya dan cara hidup mereka,” katanya. – UTUSAN









