KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) akan dilaksanakan menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP), dengan syarikat yang berjaya dipilih perlu menanggung sepenuhnya kos pembangunan projek berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak akan membiayai pembinaan lebuh raya itu kerana keseluruhan kos akan ditanggung oleh pihak konsesi yang berjaya dipilih menerusi proses tender.
Beliau berkata, kadar tol LPT3 bagaimanapun masih belum dimuktamadkan kerana ia perlu dinilai semula berdasarkan keadaan semasa dan beberapa faktor penting sebelum keputusan dibuat.
“Kajian yang dijalankan pada 2022 menganggarkan kadar tol sekitar RM80, namun anggaran itu dibuat empat tahun lalu dan perlu disemak semula.
“Struktur kadar tol akan ditentukan berdasarkan kos pembinaan, kos pembiayaan, kos operasi dan penyelenggaraan, unjuran jumlah trafik serta tempoh konsesi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai kriteria pelaksanaan LPT3 secara PPP termasuk kesannya terhadap kadar tol dan jangka masa pelaksanaan projek.
Ahmad berkata, LPT3 dijangka menjadi satu lagi pilihan pengangkutan utama bagi penduduk Pantai Timur apabila beberapa projek infrastruktur lain siap sepenuhnya.
Katanya, selain Lebuhraya Pantai Timur sedia ada, pengguna juga bakal mempunyai pilihan menggunakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
“Ketika ini, lebuh raya sedia ada hanya mengalami kesesakan pada musim perayaan dan cuti umum. Apabila ECRL, KBKK dan LTU siap kelak, pengguna mempunyai lebih banyak alternatif untuk ke Lembah Klang dan destinasi lain,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian pada 2022, projek LPT3 melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 122 kilometer dengan dua lorong dua hala, membabitkan anggaran kos pembangunan sebanyak RM9.8 bilion. – UTUSAN










