GEORGE TOWN : Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid hari ini tampil membuat laporan polis susulan beberapa fitnah yang dilemparkan terhadap beliau di media sosial sebelum ini.
Syerleena berkata, antara fitnah itu termasuk yang mendakwa bahawa kononnya beliau merupakan anak kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin.
“Saya bukan anak kepada Rashid Maidin, tetapi anak kepada Abdul Rashid Hanafi yang merupakan bekas pesara guru yang baru sahaja meninggal dunia awal Jun lalu.
“Ini merupakan fitnah yang sangat berbahaya dan ia sepatutnya tidak berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Syerleena membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dengan diiringi oleh beberapa pemimpin DAP termasuk Pengerusinya, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer serta beberapa pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Syeerlina berkata, laporan polis juga dibuat terhadap pihak yang memfitnah dirinya di media sosial dengan mendakwa kononnya dia berjuang untuk menukar agama rasmi Malaysia dan akan menyerang institusi Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Tuduhan-tuduhan ini adalah fitnah melampau yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mencipta persepsi negatif terhadap saya, parti saya, dan kerajaan di kalangan masyarakat umum, terutamanya komuniti Melayu.
“Serangan seperti ini amat tidak bertanggungjawab dan mesti dihentikan. Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik saya dan reputasi keluarga saya, tetapi, juga berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, sebagai ahli Parlimen beragama Islam, dia sentiasa komited dalam memelihara kesucian agama Islam dan akan mempertahankan institusi-institusinya di negara ini sekiranya diganggu.
Selain itu katanya, DAP juga menegaskan parti itu akan terus menghormati dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu.-UTUSAN










