KOTA BHARU: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah kononnya beliau gagal membayar sewa bangunan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian (PKPKK).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden Pas itu berkata, peguamnya kini sedang mengumpul maklumat sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pihak terlibat.
“Saya sudah serah kepada peguam untuk itu. Sebab banyak fitnah yang disebarkan dan macam-macam dakwaan dibuat.
“Tindakan ini perlu bagi membersihkan nama saya dan juga Pas. Saya menjangkakan tindakan berkenaan akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, dakwaan kononnya beliau dihalau keluar kerana gagal membayar, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa perkara tersebut tidak benar.
Katanya, hal ini kerana bayaran sewa premis tersebut dijelaskan setiap bulan tanpa sebarang masalah.
“Saya bayar sewa tiap-tiap bulan, tidak ada isu. Isunya ialah pemilik bangunan mahu mengambil semula premis itu untuk kegunaan lain.
“Bagaimanapun, notis yang diberikan hanya lima hari sedangkan mengikut perjanjian, notis pengosongan perlu diberikan dua bulan lebih awal,” ujarnya.
Tuan Ibrahim memberitahu, tempoh lima hari yang diberikan tidak munasabah kerana pihaknya memerlukan masa untuk mencari dan menguruskan perpindahan ke premis baharu.
Katanya, meskipun perjanjian sewaan premis itu hanya akan berakhir pada Ogos ini, pihaknya telah menyerahkan kunci bangunan tersebut semalam bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
“Jadi isu sebenarnya bukan isu tidak bayar sewa. Ramai yang fitnah kononnya saya tidak bayar sewa dan dihalau keluar. Itu tidak timbul langsung.
“Sebab itu kita ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut,” katanya.
Mengulas lokasi baharu pusat khidmatnya, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan premis lama dan masih berada dalam kawasan pusat bandar Kota Bharu.
Katanya, kadar sewa premis baharu itu juga lebih rendah berbanding bangunan yang disewa sebelum ini.
“Sebelum ini pun kami tidak ada masalah dengan pemilik bangunan. Sebab itu kami kekal menyewa di situ.
“Tetapi pemilik mahu mendapatkan semula bangunan itu dengan segera dan memaklumkan ada pihak lain yang mahu menyewa pada kadar lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










