BUTTERWORTH : Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu adik lelaki kononnya dia ditahan ah long susulan gagal membayar hutang sebanyak RM35,000, Sabtu lalu.
Tertuduh, Ahmad Amsyar Hamizan Ahmad Azmir, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menipu adik lelakinya yang berusia 17 tahun bahawa dia ditahan ah long dengan tujuan supaya adiknya itu memindahkan wang berjumlah RM35,000 ke dalam milikannya.
Dia dituduh melakukan kesalahan terbabit di Kampung Guar Kepayang, Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara, pukul 10.13 malam pada 6 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala bagi hukuman cubaan menipu pula, dia boleh dipenjara untuk tempoh separuh daripada hukuman terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh iaitu tidak dibenarkan mendekati pengadu sehingga kes selesai.
Majistret Siti Zulaikha kemudiannya menetapkan 2 September depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.-UTUSAN










