PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan lelaki China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah ketika perlawanan Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, semalam.
Insiden berbaur malang itu berlaku ketika aksi menentang Jepun menerusi Kumpulan D di Dewan Among Rogo.
Pemain berusia 17 tahun itu turun berdepan Kazuma Kawano yang pengsan secara tiba-tiba ketika kedudukan 11-11.

Menurut kenyataan Badminton Asia dan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) berkata pemain muda China itu meninggal dunia pada pukul 11.20 malam semalam waktu tempatan.
“Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie pengsan di dalam gelanggang ketika perlawanan petang semalam sebelum dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.
“Zhi Jie sedang bermain perlawanan peringkat kumpulan menentang Jepun ketika dia pengsan. Dia kemudiannya dirawat oleh doktor kejohanan dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital dalam tempoh kurang dua minit dengan ambulans yang disediakan,” menurut kenyataan terbabit.
Pasukan perubatan kejohanan itu kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.
Kejohanan remaja bagi acara berpasukan campuran berakhir pada hari esok manakala acara individu membuka tirai saingannya 3 hingga 7 Julai ini. – UTUSAN










