PETALING JAYA: Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar mengakui hairan apabila Kuala Lumpur (KL) City FC diberikan lesen oleh First Instance Body (FIB) untuk beraksi di Liga Super musim 2024-2025.
Menurut Syed Yazid, tindakan FIB mengejutkan kerana KL City berdepan masalah kewangan yang serius apabila bukan saja tidak membayar gaji pemain malah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibuat sejak Februari 2023.
Sehubungan itu, Syed Yazid mahu melihat segala dokumen yang dikemukakan oleh KL City FC bagi mendapatkan pelesenan kelab dan mendapatkan penjelasan daripada FIB selaku badan bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bertanggungjawab mengenai lesen.
“Kita tahu kewangan kita sangat tidak sihat jadi memang kita boleh cakap yang kewangan kita tidak stabil. Jadi pada pandangan saya, kita memang sukar untuk beraksi di Liga Super dengan hutang yang banyak.
“Bukan sahaja pembayaran gaji, KSWP dan ada lagi bayaran lain seperti pengangkutan, stadium, makan dan minum, hotel jadi sebab itulah saya rasa memang sukar untuk kita bermain di Liga Super.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu bagaimana FIB boleh memberikan lesen kepada KL City FC, jadi sebab itulah saya nak tengok sendiri dokumen yang dihantar KL City FC kepada FIB dan meminta penjelasan daripada mereka berhubung isu ini,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini,media melaporkan KL City FC tidak membuat caruman KWSP sejak Februari 2023 dengan jumlah keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 719,000.
Dalam perkembangan mengenai tunggakan aji, Syed Yazid berkata, gaji pemain KL City FC bagi April dan Mei akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kalau sudut saya sendiri, memang saya kena bayar penuh kerana kita kena ikut kontrak yang dipersetujui. Jadi kita sudah terlepas beberapa bulan dan saya tidak bersetuju kalau kita minta diskaun kerana kita kena bayar gaji pemain secara penuh.
“Kalau tidak, ini tidak adil kepada pemain yang ada komitmen sendiri. Pemain pun perlu telus dan berani. Saya pun pelik kenapa tiada pemain bersuara mengenai perkara ini (tunggakan caruman KWSP),” katanya.-UTUSAN










