GEORGE TOWN : Sebuah feri ikonik yang diletakkan di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dilaporkan tenggelam awal pagi tadi.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) kini sedang menjalankan usaha untuk menaikkan semula feri tersebut manakala pihak bomba pula mengawal minyak daripada tumpah ke dalam laut.
“Feri Pulau Kapas ini dilaporkan tenggelam kira-kira pukul 3 pagi tadi dan kejadian dipercayai berpunca dari tali yang mengikat feri ini putus akibat angin kuat.
“Usaha kini sedang giat dijalankan untuk menaikkan semula feri ini,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu, hari ini.
Untuk rekod, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun.
Ia kemudian digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu dan feri untuk motosikal dan basikal.
Bagaimanapun, bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda, di Georgetown.-UTUSAN










