14 projek naik taraf dilaksanakan di Seberang Perai sepanjang 2026 - Utusan Malaysia

14 projek naik taraf dilaksanakan di Seberang Perai sepanjang 2026

H'NG Mooi Lye (lima dari kiri) dan Lim Guan Eng (empat dari kanan) menyiram pokok sebagai gimik perasmian projek naik taraf Taman Pantai di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebanyak 14 projek naik taraf landskap kemudahan rekreasi dan kawasan lapang akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sepanjang tahun ini dengan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM4.32 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, daripada jumlah itu, sebanyak sembilan projek akan dibiayai menerusi peruntukan daripada MBSP sendiri iaitu berjumlah RM1.62 juta.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pelaksanaan tiga projek Taman Madani di negeri ini iaitu dua di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan satu lagi di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Selain itu, satu projek penaiktarafan taraf padang bola di Hospital Bagan Specialist akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) manakala projek penaiktarafan landskap di Taman Seri Tambun, SPS pula akan dibuat dengan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa atau kerajaan khususnya dalam menyediakan persekitaran yang lebih kondusif, hijau dan sejahtera demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian projek menaik taraf Taman Pantai di sini. Hadir sama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Projek Taman Pantai yang siap sepenuhnya sejak September 2025 itu menelan kos sebanyak RM755,420 dengan sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu kira-kira RM650,000 diperuntukkan oleh MBSP manakala dana yang selebihnya pula diterima daripada syarikat Think City Sdn. Bhd..

Berkonsepkan Universal Design (UD) bagi memastikan kemudahan tersebut dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, projek Taman Pantai turut mengetengahkan satu elemen unik iaitu penyediaan papan informasi sejarah berkaitan lokasi tersebut dalam bentuk tulisan Braille.

Sementara itu, Baderul Amin berkata, Taman Pantai bukan sekadar sebuah taman rekreasi, tetapi, ia merupakan simbol kebangkitan semula Butterworth selain ruang yang menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu.

“Projek ini adalah bukti bahawa apabila perancangan strategik, komitmen kepimpinan dan sokongan komuniti digabungkan, maka, keajaiban mampu dicipta,” ujar beliau.

Untuk rekod, Taman Pantai mula dibangunkan sekitar tahun 1950-an sebagai kawasan rekreasi utama untuk penduduk tempatan pada masa itu dan seiring dengan perubahan zaman, lokasi tersebut juga mengalami pelbagai perubahan dari semasa ke semasa sehingga ke hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN