BUTTERWORTH : Polis mengesahkan bahawa salah seorang daripada tiga suspek lelaki yang ditahan susulan pembunuhan seorang ibu tunggal di sebuah rumah di Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini, petang semalam, positif dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga Myanmar sebelum itu ditahan di beberapa lokasi berasingan iaitu di sekitar Bukit Mertajam dan Kubang Semang.
Katanya, perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini turut dikeluarkan oleh mahkamah terhadap kesemua suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini digesa supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-5762222 atau datang ke mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini dengan diiringi oleh beberapa anggota polis tengah hari tadi bagi mendapatkan perintah reman daripada Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Semalam, mangsa yang juga seorang ibu tunggal berusia 41 tahun dijumpai mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada bahagian leher.
Menurut polis, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh jiran mangsa yang kebetulan melalui kawasan rumah berkenaan.
Mangsa dikatakan bekerja sebagai pemandu van sekolah dan dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun yang turut tinggal bersamanya di rumah tersebut.-UTUSAN










