BAITULMUQADDIS: Tentera Israel didakwa menyelamatkan empat tebusan yang ditahan oleh Hamas sejak Oktober lalu dalam satu serbuan di Gaza, semalam.
Menurut pegawai Palestin, tentera Israel turut membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin dan ia disifatkan sebagai satu serangan Israel paling berdarah sepanjang lapan bulan perang berlangsung.
Operasi menyelamat tebusan dan serangan udara berlaku di tengah-tengah Gaza al-Nuseirat, kawasan yang padat dan sering diperangi dalam konflik di antara Israel dan Hamas.
Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, operasi itu berlaku di tengah-tengah kawasan perumahan di Nuseirat di mana Hamas menahan tebusan di dua blok apartmen berasingan.
Menurut Hagari, tenteranya ditembak hebat semasa serangan dan bertindak balas dengan melepaskan tembakan dari udara dan dari jalan raya.
“Kita tahu kira-kira di bawah 100 orang (Palestin) terkorban. Saya tidak tahu berapa ramai daripada mereka adalah kumpulan Hamas,” katanya dalam taklimat bersama wartawan.
Seorang komander pasukan khas Israel didakwa terbunuh semasa operasi itu, kata satu kenyataan polis.
Paramedik dan penduduk Gaza berkata, serangan itu membunuh berpuluh-puluh orang dan menyebabkan mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak remuk berselerakan di sekitar pasar dan masjid.
Israel menamakan tebusan yang diselamatkan sebagai Noa Argamani, 26, Almog Meir Jan, 22, Andrey Kozlov, 27, dan Shlomi Ziv, 41.
Mereka dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan berada dalam keadaan sihat, kata tentera.
Mereka semua diculik dari festival muzik Nova semasa serbuan maut oleh kumpulan Hamas ke atas bandar dan kampung Israel berhampiran Gaza pada 7 Oktober lalu, mencetuskan perang yang dahsyat.
Serangan Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang, menurut pihak berkuasa Israel dan pengeboman dan pencerobohan Israel berikutnya ke atas Gaza membunuh sekurang-kurangnya 36,801 rakyat Palestin, menurut pengiraan terkini oleh kementerian kesihatan wilayah itu, semalam.
Lelaki bersenjata membawa kira-kira 250 tebusan kembali ke Gaza pada 7 Oktober lalu, lebih 100 daripadanya dibebaskan sebagai pertukaran untuk kira-kira 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel semasa gencatan senjata selama seminggu pada November lalu.
Terdapat 116 tebusan yang tinggal di kawasan terkepung di pantai, menurut pengiraan Israel, termasuk sekurang-kurangnya 40 yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa Israel mati tanpa kehadiran jasad.
Jurucakap Briged al-Qassam bersenjata Hamas, Abu Ubaida berkata, beberapa tebusan terbunuh semasa operasi menyelamat dilakukan.
Bagaimanapun, kata jurucakap tentera Israel, Peter Lerner kepada CNN, ia adalah pembohongan terang-terangan.
Ditanya mengenai laporan berita bahawa perisikan Amerika Syarikat (AS) menyokong operasi menyelamat, Lerner berkata, Israel dan AS mempunyai hubungan kerja yang rapat dan intim berkaitan dengan perisikan tetapi enggan mengulas lanjut.
Percubaan oleh AS dan negara-negara serantau untuk menjalin perjanjian yang akan membebaskan semua tebusan yang tinggal sebagai balasan untuk gencatan senjata berulang kali gagal apabila Israel menekan serangannya di Gaza. -REUTERS










