Suhu di Mekah boleh cecah 48 darjah Celcius - Utusan Malaysia

Suhu di Mekah boleh cecah 48 darjah Celcius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Jurucakap Kerajaan Arab Saudi memberi amaran tentang peningkatan suhu mencecah 48 darjah Celcius ketika jemaah haji bersiap sedia untuk melaksanakan ibadah haji minggu ini, lapor agensi berita negara SPA.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Muhammad Al-Abdulaali berkata, suhu tinggi menimbulkan cabaran utama dalam musim haji tahun ini, yang dijangka bermula pada 14 Jun.

Beliau menggesa jemaah haji mematuhi garis panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian untuk menjaga keselamatan daripada cuaca panas dengan membawa payung, mengekalkan penghidratan dan mengambil masa rehat bagi mengelakkan keletihan haba.

“Kementerian sedang berusaha untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat untuk jemaah haji memandangkan keadaan iklim yang teruk,” kata Al-Abdulaali.

Pusat Meteorologi Kebangsaan meramalkan suhu di Mekah akan mencecah antara 45 hingga 48 darjah Celsius, dari panas hingga sangat panas dengan potensi hujan yang kecil.

Kerajaan membuat persiapan rapi untuk musim haji tahun ini bagi memastikan ibadah haji yang selamat dan lancar.

Buat pertama kalinya, pusat kawalan dan pemantauan mudah alih dilengkapi penderia yang disambungkan ke jalan utama, yang dilancarkan untuk memastikan aliran trafik lancar di dalam Mekah dan tapak suci itu.

Melalui pemantauan masa nyata, kenderaan pengangkutan awam yang menggunakan sistem berteknologi tinggi itu akan mengukur kepadatan lalu lintas di sepanjang laluan yang ditetapkan untuk pengangkutan jemaah semasa musim haji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya