ATLANTA: Republik Demokratik (DR) Congo bertekad meneruskan kisah luar biasa mereka di Piala Dunia 2026 apabila berdepan England pada aksi pusingan 32 terbaik awal pagi Khamis ini dengan semangat yang dibentuk daripada pelbagai cabaran di luar padang.
Skuad kendalian Sebastien Desabre mara ke pentas kalah mati buat kali pertama selepas menewaskan Uzbekistan 3-1 hasil dua jaringan Yoane Wissa, sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung negara itu di pentas Piala Dunia.
Wissa berkata, setiap kali menyarung jersi kebangsaan, pemain sentiasa mengingati rakyat yang masih berdepan konflik peperangan di timur Congo dan mahu menghadiahkan sesuatu yang membanggakan buat mereka.
“Negara kami bukan tempat yang mudah untuk didiami kerana peperangan masih berlaku di timur Congo dan setiap kali kami memakai jersi ini, kami sentiasa mengingati mereka.
“Kami hanya mahukan keamanan dan mengucapkan terima kasih kepada semua kerana kami datang daripada serba kekurangan, namun kini berjaya menulis sejarah sendiri yang harus dibanggakan,” katanya.
Kejayaan Congo dibina menerusi gabungan pemain berdarah warisan dengan 20 daripada 26 pemain dilahirkan di luar negara termasuk Aaron Wan Bissaka dan Axel Tuanzebe yang pernah mewakili England di peringkat remaja.
Pemain tengah Noah Sadiki berkata, semakin ramai pemain generasi baharu memilih menyarung jersi Congo kerana mahu menyumbang sesuatu kepada tanah air nenek moyang mereka.
“Terdapat generasi baharu yang benar-benar mahu membantu rakyat dan negara ini.
“Impian kami bukan sekadar bermain di Piala Dunia, tetapi membuktikan Congo mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa besar bola sepak dunia,” katanya. – AGENSI










