Pengusaha bot khuatir pelancong asing merungut caj RM20

Pengusaha bot khuatir pelancong asing merungut caj RM20

MOHD. Asrul Che Rahma menunjukkan tanda harga bayaran perkhidmatan dan akses ke Pulau Perhentian di Jeti Pelancongan Kuala Besut, Besut semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kira-kira 50 pengusaha bot dan agensi pelancongan bimbang pendapatan mereka terjejas jika Majlis Daerah Besut (MDB) menaikkan bayaran perkhidmatan dan akses ke Pulau Perhentian di sini, kepada RM20 seorang untuk pelancong asing.
Bayaran perkhidmatan tersebut dikutip MDB tiga tahun lalu ditetapkan RM5 sahaja kepada pelancong asing dan tempatan sebelum ini.
Setiausaha Persatuan Peng­usaha Bot Pelancongan Kuala Besut, Mohd. Asrul Che Rahma berkata, difahamkan bayaran perkhidmatan ke pulau itu kepada pelancong asing itu akan dinaikkan bulan ini.
Menurut beliau, bayaran terlalu tinggi itu akan membebankan pelancong asing kerana mereka juga dikenakan bayaran lain seperti pemuliharaan taman laut RM30 seorang, cukai pelancongan RM10 satu malam selain tambang bot RM70 seorang bagi perjalanan pergi dan balik.
“Kebanyakan pelancong asing sebelum ini merungut apabila mereka dikenakan bayaran perkhidmatan dan akses ke pulau, sedangkan tidak banyak kemudahan disediakan untuk keselesaan mereka.
“Pelancong asing selepas ini akan terkejut sekiranya bayaran dinaikkan sehingga RM20 seorang,” katanya ketika ditemui di Jeti Pelancongan Kuala Besut, di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×