NIBONG TEBAL : Calon PKR, Dr. Joohari Ariffin yang mewakili Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan menjadi calon pertama yang tiba ke pusat penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi di sini.
Joohari, 60, yang tiba kira-kira pukul 8.45 pagi diiringi oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengarah Strategik Amanah; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad serta Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, tiba kira-kira lima minit kemudian dengan diiringi oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin; Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor serta beberapa tetamu lain.
Sehingga pukul 9.49 pagi ini, tidak kelihatan mana-mana individu yang akan bertanding bagi kerusi Bebas tiba di pusat penamaan calon di sini.
Dalam pada itu, lebih 500 penyokong PH dan Kerajaan Perpaduan diilihat berhimpun tidak jauh dari lokasi penamaan calon manakala ratusan penyokong PN juga dilihat berhimpun tidak jauh dari lokasi penamaan calon arah bertentangan.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.-UTUSAN









