Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang kekal utuh - Kon Yeow

Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang kekal utuh – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow ketika ditemui pemberita di pejabatnya di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang ketika ini kekal utuh walaupun berlaku pergolakan politik di beberapa negeri lain termasuk di Melaka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, hubungan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang berjalan lancar tanpa sebarang isu yang menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Setakat ini, tiada isu berkaitan kerjasama. Semuanya kekal seperti biasa (status quo) dan tidak ada mana-mana parti yang memulakan sebarang keputusan baharu berkaitan hala tuju kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Beliau mengulas pendirian DAP Melaka yang mengumumkan untuk keluar daripada kerajaan negeri itu serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibuat secara lantikan.

Mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pula, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, parti itu sememangnya mengamalkan sikap terbuka dalam menerima sebarang keputusan rakyat.

“Kita menerima baik segala pandangan yang dikemukakan kerana ia merupakan nasihat yang boleh membantu kita memperbaiki segala kelemahan, memperkukuh kekuatan serta menyusun semula strategi selepas ini.

“Pada masa yang sama, kita juga akan meneliti semua faktor yang mungkin menyumbang kepada keputusan PRN di Johor,” katanya yang memberitahu, perkara terpenting ketika ini ialah memastikan keyakinan pengundi terhadap dasar dan perjuangan PH terus diperkukuhkan.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengakui media sosial kini memainkan peranan yang besar dalam membentuk pemikiran serta persepsi masyarakat terhadap kerajaan dan parti politik di negara ini.

“Media sosial bukan sahaja boleh mempengaruhi pemikiran, malah, mengubah persepsi, membentuk jangkaan serta mewujudkan rasa tidak percaya. Semua ini memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan termasuk politik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN