PN perlu post-mortem menyeluruh, jujur - Pejuang

PN perlu post-mortem menyeluruh, jujur – Pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai ruang untuk melakukan post-mortem secara menyeluruh, jujur dan membina.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, setiap parti komponen PN memikul tanggungjawab bersama dalam menilai kekuatan, kelemahan serta strategi yang perlu diperbaiki selepas keputusan pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, penilaian itu penting bagi memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan yang lebih mantap menjelang PRN akan datang dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Bagi PN, keputusan ini perlu dijadikan ruang untuk melakukan post-mortem secara menyeluruh, jujur dan membina.

“Sudah tiba masanya gabungan ini memperkukuhkan gerak kerja organisasi, memperluaskan jaringan akar umbi, memperkemaskan dasar serta menawarkan penyelesaian yang lebih diyakini rakyat. 

“Keyakinan rakyat perlu dibina melalui khidmat yang berterusan, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Rafique berkata, Pejuang kekal komited untuk memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan yang bersedia menjadi kerajaan alternatif.

“Semangat persefahaman, kesepaduan dan kerjasama erat antara semua parti komponen merupakan asas penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pejuang menghormati keputusan dan pilihan rakyat Johor, bukan sahaja di N.09 Gambir, malah di keseluruhan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Katanya, keputusan rakyat adalah asas kepada amalan demokrasi yang wajib dihormati oleh semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya, petugas, ejen parti serta pimpinan semua peringkat daripada parti komponen PN yang bertungkus-lumus sepanjang kempen di Gambir.

Katanya, calon PN daripada Pejuang di Gambir, Suraya Sulaiman tetap beriltizam untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya.

“Bagi Pejuang, keputusan di N.09 Gambir bukanlah penamat kepada perjuangan, tetapi sebuah kemenangan yang masih tertangguh.

“Perjuangan untuk membela rakyat, memperkukuhkan negara serta mempertahankan nilai-nilai yang diperjuangkan akan diteruskan dengan lebih gigih bersama Perikatan Nasional menuju PRU-16,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN