PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai gabungan yang merekodkan jumlah calon hilang wang deposit paling ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila 21 daripada 33 calon yang ditampilkan gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi keseluruhan yang diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada jumlah itu, 16 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan lima calon Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) gagal mempertahankan deposit masing-masing selepas mencatat keputusan yang mengecewakan di kerusi ditandingi.
Turut menerima tamparan ialah parti baharu, Bersama, apabila kesemua 15 calonnya hilang wang deposit dalam penampilan sulung mereka di pentas pilihan raya negeri.
Pakatan Harapan (PH) pula menyaksikan tujuh calonnya gagal mempertahankan deposit, manakala kesemua enam calon Bebas dan empat calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut mengalami nasib sama.
Selain itu, masing-masing seorang calon daripada Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut kehilangan wang deposit selepas gagal mencapai syarat minimum yang ditetapkan SPR.
Mengikut peraturan pilihan raya, seseorang calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi yang diperoleh semua calon yang bertanding di kerusi berkenaan. – UTUSAN










