Hanya Hong Kong mampu jadi penghalang Malaysia

Hanya Hong Kong mampu jadi penghalang Malaysia

MALAYSIA berdepan Jepun pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Dalian, China, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan skuasy lelaki dan wanita negara berpeluang dinobatkan selaku juara Asia, namun, seteru ketat, Hong Kong mampu menjadi penghalang impian Malaysia itu menjelang perlawanan akhir pada Kejohanan Berpasukan Asia di Dalian, China, esok.

Bagi skuad wanita, aksi ulangan edisi lalu (2022) berlaku sekali lagi pada final apabila Hong Kong menjadi duri dalam daging usaha Malaysia untuk merangkul gelaran Asia.

Untuk skuad lelaki yang turut berdepan lawan sama iaitu Hong Kong, pertembungan dalam perlawanan akhir merupakan pencapaian lebih baik berbanding edisi 2022, selepas kedua-dua pasukan berkongsi pingat gangsa.

Pengurus pasukan negara, Mohd Nafzahizam Adnan berkata, baik skuad lelaki mahupun wanita, kedua-duanya mempunyai peluang seimbang.

“Untuk pasukan wanita, bergantung kepada siapa yang main lebih bagus, esok, saya jangkakan perlawanan akhir itu berlangsung sengit.

“Percaturannya, esok, pemain No. 1 kita patut menang dan No. 2, saya berasakan peluang 50-50, apapun bagi untuk wanita, kita ada sedikit peluang untuk menang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas pula mengenai skuad lelaki, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjelaskan, keputusan bergantung kepada pemain No. 2 dan No. 3 yang wajib memburu kemenangan.

“Kita kalau boleh hendak curi satu mata daripada No. 2 atau No. 3, kitapun tak tahu formasi pasukan Hong Kong macam mana, harap pemain kita dapat bermain baik,” ujarnya.

Sementara itu, pasukan lelaki dan wanita Malaysia yang bertembung dengan lawan sama iaitu Jepun berjaya mengetepikan negara itu pada separuh akhir, hari ini.

Untuk skuad wanita, Malaysia menumbangkan Jepun 2-1, selepas Aira Azman menewaskan Risa Sugimoto 11-2, 11-4, 11-5 dan Rachel Arnold membenam Akari Midorikawa 11-3, 11-3, 11-8, namun, pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari dikejutkan Satomi Watanabe yang menghuni ranking No. 14 dunia 5-11, 11-7, 10-12, 10-12.

Pasukan lelaki pula, menang mudah 2-0 yang diraih menerusi Mohamad Syafiq Kamal yang mengalahkan Naoki Hayashi 11-5, 11-4, 11-7 dan pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow menumpaskan Ryunosuke Tsukue 11-8, 11-7, 11-4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN