Sivasangari cipta sejarah mara ke final Jelajah Akhir PSA

Sivasangari cipta sejarah mara ke final Jelajah Akhir PSA

Sivasangari bakal mengharungi satu lagi ujian getir menentang jaguh No. 1 dunia, Hania El Hammamy pada final Jelajah Akhir PSA di Paris, Perancis, esok. - Ihsan PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari menamatkan penantian selama 14 tahun untuk menyaksikan wakil Malaysia mara ke final pada Kejohanan Jelajah Akhir Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Paris, Perancis, esok.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengejutkan juara dunia, Amina Orfi dari Mesir dengan kemenangan 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 dalam masa 74 minit pada separuh akhir, awal pagi tadi.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Sivasangari ke atas jaguh No. 2 dunia itu, selepas dia berbuat demikian pada separuh akhir Piala Grasshopper di Zurich, Switzerland, April lalu.

Kali terakhir pemain Malaysia berjaya menjejakkan kaki ke final adalah menerusi bekas juara dunia, Datuk Nicol David pada 2012 di London, England yang turut menyaksikan legenda skuasy dunia itu menjuarai kejohanan penutup musim tersebut.

Selepas itu tiada lagi pemain Malaysia yang mampu menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, apatah lagi merangkul gelaran seperti yang dilakukan Nicol.

Untuk mengulangi pencapaian Nicol, Sivasangari perlu mengharungi ujian getir menentang jaguh No. 1 dunia, Hania El Hammamy dari Mesir pada final pukul 2.30 pagi, esok (waktu Malaysia).

Mengulas mengenai aksi separuh akhir menentang Amina, Sivasangari berkata, bintang muda Mesir itu seorang pemain yang memiliki keyakinan tinggi dan tidak mudah menyerah kalah.

“Saya pula apabila berdepan Amina, perlu mengekalkan sikap positif sepanjang permainan saya dan amat penting untuk terus konsisten dengan strategi yang telah diatur,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Jelas pemain berusia 27 tahun itu, dia berusaha keras untuk mencari persembahan yang lebih konsisten, selepas mengharungi prestasi tidak menentu sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, tahun ini, dia cuba mengekalkan prestasi yang lebih baik dalam setiap permainannya, tetapi, ia tidak mudah kerana masih ada beberapa kesilapan yang tidak patut dilakukan.

Ketika ditanya mengenai situasi ‘sudden death’ dalam perlawanan menentang Amina, Sivasangari berkata, sejujurnya dia tidak menggemari apabila terperangkap di dalam keadaan tersebut.

“‘Situasi ‘sudden death’ hanya mengundang tekanan dalam permainan saya dan saya gembira berjaya keluar sebagai pemenang,” ujarnya.

Sivasangari berkata, masih ada satu lagi pertarungan yang perlu ditempuhinya dan amat berharap dapat mengakhiri, musim ini, di kedudukan terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN