Sivasangari pamer peningkatan walaupun tersingkir

Sivasangari pamer peningkatan walaupun tersingkir

S. Sivasangari (kiri) sewaktu beraksi menentang Hania El Hammamy pada suku akhir Kejohanan Dunia di Giza, Mesir, tengah malam tadi. - Gambar Ihsan Squashsite
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita No. 1 negara, S. Sivasangari tersingkir pada suku akhir Kejohanan Dunia di tangan bintang No. 1 dunia, Hania El Hammamy di Giza, Mesir, malam tadi.

Namun, di sebalik kekalahan itu apa yang menjadi tumpuan adalah kualiti permainan yang ditampilkan anak jati Sungai Petani, Kedah itu sewaktu berdepan wakil tuan rumah tersebut.

Sivasangari tidak memberi laluan mudah dan pencabarnya itu dipaksa bermain selama 1 jam 33 minit sebelum pemain negara yang menghuni ranking No. 5 dunia tersebut tewas dalam permainan yang diheret sehingga ke set penentuan 11-9, 10-12, 12-10, 5-11, 8-11.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan pencabar tunggal Malaysia di suku akhir, selepas rakan-rakan senegara yang lain terkandas sama ada di peringkat 64 terbaik atau pusingan 32 terbaik.

Selain Sivasangari, turut beraksi pada Kejohanan Dunia ialah Ng Eain Yow, Rachel Arnold, Aira dan Aifa Azman.

Persembahan yang dipamerkan Sivasangari berdepan naib juara Kejohanan Dunia, edisi lalu, sememangnya berkelas dunia dan pemain itu membuktikan dirinya layak berada di dalam program Road To Gold (RTG).

Menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2028 pada tahun depan, Sivasangari sebenarnya berada di landasan terbaik untuk mempersiapkan dirinya tampil buat kali pertama pada temasya berprestij itu.

Baru sahaja dinobatkan sebagai juara Piala Grasshopper di Switzerland, bulan lalu, momentum tersebut berjaya dikekalkan Sivasangari pada Kejohanan Dunia.

Jika dia terus kekal dengan prestasi baik ini, impiannya untuk bersaing secara konsisten dengan pemain yang berada dalam kelompok empat terbaik dunia akan tercapai.

Sebenarnya Sivasangari telahpun berbuat demikian sewaktu di Switzerland selepas dia menewaskan jaguh No. 3 dunia, Amina Orfi di separuh akhir.

Keputusan Sivasangari beralih angin ke Eropah berlatih di bawah bimbingan bekas bintang skuasy dunia, Gregory Gualtier juga merupakan satu keputusan tepat setelah menyaksikan peningkatan ketara dalam permainannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN