39 pesawat pejuang Amerika didakwa musnah dalam perang Iran

39 pesawat pejuang Amerika didakwa musnah dalam perang Iran

SEBUAH pesawat tentera AS musnah dalam perang Iran di Pangkalan Udara Prince Sultan, Arab Saudi, 27 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ahli Kongres daripada parti Demokrat Amerika Syarikat (AS), Ed Case berkata pada Selasa bahawa AS telah kehilangan 39 pesawat sejak bermulanya perang dengan Iran pada 28 Februari, dengan merujuk kepada laporan sebuah penerbitan pertahanan AS.

Case membuat kenyataan itu semasa pendengaran khas jawatankuasa Dewan Senat ketika menyoal Ketua Pegawai Kewangan Pentagon, Jay Hurst, mengenai tahap kerosakan yang dialami sepanjang konflik tersebut.

“Kami telah kehilangan kira-kira 39 pesawat, menurut laporan The War Zone dan itu laporan lama yang hampir sebulan usianya,” kata Case sambil bertanya kepada Hurst sama ada Pentagon telah mengira kos penyelenggaraan bagi semua pesawat tersebut.

Hurst menjawab: “Memang terdapat kos, tuan, tetapi saya mahu memberikan jawapan bertulis mengenai jumlah khususnya kerana seperti yang tuan boleh bayangkan, pembaikan pesawat adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dikira.”

“Kami mahu melakukan pemeriksaan penuh terhadap pesawat terlebih dahulu sebelum menganggarkan kos tersebut,” tambahnya.

Laporan yang dirujuk oleh Case, diterbitkan oleh portal berita pertahanan AS, The War Zone, menyatakan Tentera Udara AS melaksanakan hampir 13,000 penerbangan sepanjang konflik dengan Iran.

Menurut laporan itu, sebanyak 39 pesawat musnah manakala 10 lagi mengalami pelbagai tahap kerosakan.

Laporan tersebut turut mendakwa sebuah jet pejuang F-35A Lightning II terkena serangan dalam ruang udara Iran dan sebuah pesawat Boeing E-3 Sentry turut musnah.

Dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas dan pegawai Pentagon juga tidak mengesahkan secara terbuka kehilangan tersebut semasa pendengaran berkenaan.

AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, sehingga mencetuskan serangan balas Teheran terhadap Israel dan sekutu AS di Teluk selain menyebabkan Selat Hormuz ditutup.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.

Ia kemudian dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump, tanpa tempoh akhir yang ditetapkan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN