KAHERAH: Pengantara Qatar dan Mesir memaklumkan Hamas sudah menjawab cadangan gencatan senjata yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan pertukaran tawanan Israel dengan tahanan Palestin dengan beberapa ‘komentar’ mengenai rancangan itu.
Hamas dan kumpulan Jihad Islam (PIJ) dalam kenyataan bersama pada Selasa berkata, pihaknya bersedia untuk ‘berurusan secara positif bagi mencapai persetujuan’ dan keutamaan adalah ‘menghentikan sepenuhnya’ serangan berterusan Israel di Gaza.
Pegawai Kanan Hamas, Osama Hamdan memberitahu saluran televisyen Al-Mayadeen Lubnan, pihaknya menyerahkan beberapa kenyataan mengenai cadangan itu kepada pihak pengantara.
Bagaimanapun, Hamdan belum memberikan sebarang butiran lagi.
“Hamas menegaskan pendiriannya sebarang perjanjian adalah mesti menamatkan pencerobohan Zionis terhadap rakyat Palestin, tentera Israel perlu berundur, membina semula Gaza dan serius dalam mencapai perjanjian pertukaran tahanan,” katanya.
Kementerian Luar Qatar dan Mesir dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang meneliti tindak balas dan meneruskan usaha pengantaraan bersama-sama AS sehingga persetujuan dicapai.
AS TERIMA RESPONS
Jurucakap Keselamatan Negara AS,John Kirby berkata, pihaknya turut menerima maklum balas itu dan sedang melakukan penilaian terhadapnya.
Wartawan Al Jazeera, Imran Khan melaporkan pemimpin Hamas dan PIJ memaklumkan respons yang disampaikan termasuk dengan pindaan.
“Pindaan itu termasuk pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza, termasuk lintasan Rafah dan Koridor Philadelphia.
“Orang Israel hanya mahukan satu perkara,iaitu memusnahkan Hamas daripada segi politik dan ketenteraan.
“Ini kerana, Hamas mampu bertahan dalam beberapa cara atau bentuk,” katanya.
DESAKAN ANTARABANGSA
Dalam perkembangan lain, Presiden Mesir, Abdel Fattah Sisi; Raja Jordan, Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan maksimum terhadap Israel bagi menghentikan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza.
Pemimpin itu mengadakan sidang kemuncak tiga pihak di luar persidangan ‘Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza‘ di Jordan.
Mereka juga menyeru penyatuan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian dua negara dan menyeluruh bagi isu Palestin, menurut kenyataan pejabat Presiden Sisi.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi semasa sidang kemuncak itu memberitahu Israel melakukan jenayah perang di Semenanjung Gaza yang belum pernah disaksikan sejak beberapa dekad.
Sehingga kini, jumlah rakyat Palestin yang terkorban adalah seramai 37,164 orang dengan 84, 832 yang lain cedera.
Beberapa hari lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengadakan kunjungan ke Asia Barat untuk mendorong pelaksanaan rancangan gencatan senjata yang dipromosikan Presiden, Joe Biden selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengundi resolusi untuk menyokong pelan tersebut.
Sebanyak 14 negara anggota UNSC mengundi menyokong resolusi digubal AS berhubung rancangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diumumkan oleh Biden pada 31 Mei lalu, sementara Russia memilih untuk berkecuali.
UNSC menyertai beberapa kerajaan dan kumpulan negara G7 untuk menyokong pelan tiga bahagian gencatan senjata tersebut dan menggesa usaha itu dilakukan tanpa berlengah atau syarat-syarat rumit.
Cadangan itu menetapkan syarat untuk gencatan senjata penuh dan lengkap, pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas, pemulangan mayat tebusan yang meninggal dunia dan pertukaran tahanan Palestin.










