Bantuan kemanusiaan ke Gaza kritikal, menyusut sebanyak 67

Bantuan kemanusiaan ke Gaza kritikal, menyusut sebanyak 67 peratus

KANAK-KANAK Palestin yang dipindahkan membawa air di kem sementara di Khan Younis di selatan Gaza pada 24 Mei lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza menurun sebanyak 67 peratus sejak Israel melancarkan sera­ngan tentera di bandar selatan Rafah awal bulan ini.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran, jumlah makanan dan bantuan lain yang memasuki Gaza sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat, semakin mengecil sejak 7 Mei lalu.

Purata harian 58 trak bantuan sampai ke Gaza di antara 7 Mei dan Selasa lalu, turun da­ripada purata 176 trak bantuan antara 1 April dan 6 Mei lalu, kata OCHA iaitu penurunan sebanyak 67 peratus.

500 TRAK SEHARI SEBELUM PERANG

Kira-kira 500 trak setiap hari menyeberang ke Gaza sebelum permusuhan antara Israel dan Hamas bermula pada Oktober lalu, menurut angka dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sudah lama menggesa agar penghantaran kembali ke tahap ini.

Penurunan dalam penghantaran bantuan berlaku selepas Israel memulakan serangan ke atas Rafah dalam percubaannya untuk memusnahkan Hamas yang dipercayai berkumpul semula di selatan Gaza selepas pemusnahan Israel di sebahagian besar utara.

Sejak Israel merampas kawalan sebelah Gaza di persimpa­ngan Rafah pada 7 Mei lalu, bantuan disekat dengan bekalan bertimbun di Mesir dan Gaza, rakyat Palestin semakin hampir dengan kebuluran.

PERANG MEREBAK TAHUN DEPAN

Seorang pegawai tertinggi keselamatan Israel minggu ini memberi amaran bahawa perang di Gaza boleh merebak sehingga tahun depan.

Minggu lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkata, situasi kemanusiaan di Gaza kini boleh disifatkan sebagai malapetaka dan mengarahkan Israel supaya terus membuka lintasan Rafah untuk peruntukan tanpa halangan.

Israel dan Mesir saling me­nyalahkan antara satu sama lain atas sekatan tersebut.

Menteri Luar Israel, Israel Katz menggesa Mesir untuk membuka semula lintasan itu. Rakan sejawatannya dari Mesir, Sameh Shoukry menuduh Katz menyelewengkan fakta dengan mengatakan serangan Israel berhampiran persimpa­ngan dan bahaya yang ditimbulkannya kepada pekerja bantuan adalah merupakan punca Mesir tidak dapat membawa bantuan ke Gaza.

RAFAH NADI BANTUAN MASUK

Rafah sebelum ini menjadi nadi atau pusat untuk bantuan masuk ke Gaza dan pada bulan November lalu, ia digunakan warga Palestin dan warga asing yang cedera memasuki Mesir.

Dengan Rafah kini menjadi pusat permusuhan, bantuan terus masuk dari dua lintasan lain iaitu Kerem Shalom di selatan dan Erez di utara.

Kerem Shalom dibuka semula minggu lalu selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bersetuju untuk menghantar bantuan kepada PBB melalui lintasan secara sementara.

“Ini akan membantu menyelamatkan nyawa,” kata Biden, sementara usaha terus membuka semula persimpa­ngan Rafah.

Lebih 370 trak bantuan tiba di persimpangan dari Mesir pada Isnin lalu, kata pegawai Israel. Tetapi UNRWA, agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin berkata, mereka mengambil hanya 30 trak untuk diedarkan di sebelah lintasan Gaza. – CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×