JEDDAH : Kerajaan Arab Saudi bersedia menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik untuk jutaan jemaah haji yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Antaranya termasuk penyediaan kediaman bertingkat yang termaju, Kidana Al-Wadi di Mina yang dibina oleh Syarikat Kidana, lapor Saudi Gazette.
Kediaman yang terdiri daripada sepuluh menara itu mempunyai kapasiti untuk menampung lebih 30,000 jemaah dengan reka bentuk moden.
Syarikat itu melaksanakan projek Kidana Al-Wadi dalam tempoh sembilan bulan dengan kerjasama pihak swasta.
PENGANGKUTAN
Kereta Api Mashaer siap dibina di sembilan stesen di sepanjang tapak suci Mina, Muzdalifah dan Arafah, yang dihubungkan dengan jalan kereta api berkembar sepanjang 18 kilometer (KM).
Kereta api dengan kapasiti 72,000 penumpang sejam dalam satu arah akan beroperasi lebih 2,000 perjalanan.
Ia berfungsi untuk memudahkan pergerakan tetamu Allah pergi dan balik dari lokasi mereka, manakala kelajuan kereta api mencecah 80 km sejam dan boleh menempuh jarak antara Mina dan Arafah dalam masa kira-kira 20 minit.
Kereta Api Mashaer merangkumi 17 gerabak kereta api dengan kapasiti setiap kereta api boleh membawa 3,000 penumpang, manakala kapasiti tempat duduk kereta api ialah 20 peratus daripada jumlah penumpangnya.
Ia akan menyumbang kepada pengangkutan lebih 350,000 jemaah antara tapak suci.
Stesen itu direka bentuk mengikut bilangan pintu masuk dan keluar untuk kereta api. Terdapat 60 pintu di setiap sisi, kerana kereta api menyumbang untuk mengangkut ratusan ribu jemaah haji di setiap arah antara tapak suci.
BEKALAN AIR
Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian pula menggerakkan lebih 2,000 kakitangan untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air untuk jemaah haji.
Kadar pengepaman harian melebihi 750,000 meter padu di Mekah dan mencecah satu juta meter padu pada waktu puncak pada Hari Arafah dan Aidil Adha.
Kuantiti simpanan air mencecah 3.2 juta meter padu, selain melaksanakan kira-kira 4,100 ujian makmal setiap hari bagi menjamin kualiti air kepada jemaah haji.
Pihak kementerian turut melancarkan 10 projek bernilai lebih 158 juta riyal (RM198 juta) untuk membangunkan infrastruktur dan menyokong bekalan air.
KESIHATAN
Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi telah melaksanakan semua persiapan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan dan kecemasan terbaik untuk jemaah haji.
Kementerian itu menyediakan Hospital Mina Street baharu dengan kapasiti 50 katil serta satu jabatan bagi merawat pesakit yang mengalami keletihan dan strok haba.
Hospital ini juga mempunyai 10 klinik am dan khusus, jabatan endoskopi, unit pengasingan, unit rawatan rapi dengan kapasiti 16 katil yang dilengkapi peralatan perubatan lengkap termasuk unit dialisis dengan kapasiti empat katil dan jabatan pensterilan.
Makmal hospital ini dilengkapi peralatan moden terkini yang memberikan hasil pantas dalam masa singkat.
Hospital Kecemasan Mina pula mempunyai kapasiti kira-kira 200 katil, termasuk 88 katil di jabatan kecemasan dan 35 klinik pesakit luar.
Hospital ini mempunyai kapasiti 160 katil, dengan lebih 20 katil diperuntukkan untuk pesakit strok haba.
Hospital Mina Al-Jisr mempunyai kapasiti 150 katil, termasuk katil penjagaan kritikal, dan 40 katil jabatan kecemasan.










