WASHINGTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang laluan baharu di Gaza untuk mengangkut bantuan dari jeti terapung yang dibina oleh Amerika Syarikat (AS) selepas sekumpulan orang Palestin yang terdesak memintas 11 trak.
Pintasan itu menyebabkan penghantaran dari jeti terhenti seketika.
Kapal yang membawa bantuan kemanusiaan itu berlabuh ke pantai Gaza Khamis minggu lalu ketika Israel berada di bawah tekanan global untuk membenarkan lebih banyak bekalan masuk ke kawasan pesisir pantai yang terkepung.
OPERASI AGIHAN BERMULA JUMAAT
Operasi mengagihkan bantuan pula bermula pada hari Jumaat dan 11 trak bantuan dipandu oleh kontraktor PBB ke gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir El Balah di Gaza.
Tetapi pada hari Sabtu, hanya lima trak berjaya ke gudang selepas 11 yang lain dipintas.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, orang ramai memberhentikan trak di pelbagai tempat di sepanjang jalan.
“Ada rakyat Palestin yang membuat pengagihan sendiri.
“Trak ini melalui kawasan yang tidak ada bantuan. Saya rasa orang ramai takut mereka tidak akan mendapat bantuan. Jadi, mereka merebut apa sahaja yang mereka boleh,” katanya.
PENGEDARAN DIHENTIKAN SEMENTARA
Jurucakap WFP di Kaherah, Abeer Etefa berkata, pengedaran dihentikan sementara ketika PBB merancang laluan baharu dan penyelarasan penghantaran dalam usaha untuk mengelakkan lebih banyak bantuan dipintas.
“Misi itu dirancang semalam menggunakan laluan baharu untuk mengelak serbuan orang ramai,” katanya.
Dujarric berkata tiada pengangkutan bantuan dari jeti itu sejak Sabtu lalu.
Jeti itu dipenuhi dengan harapan dan keraguan oleh penduduk di Gaza.
Operasi dari jeti itu diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden pada Mac lalu dianggarkan menelan kos AS$320 juta (RM1.5 billion) dan melibatkan 1,000 anggota perkhidmatan AS.
“Jeti itu sepatutnya berada di sana apabila pendudukan (Israel) tamat sepenuhnya. Kemudian, ia akan menjadi baik untuk kita. Ia akan menjadi baik untuk mengembara, untuk mendapatkan sesuatu,” kata penduduk, Abu Nadi al-Haddad.
BANTUAN MELALUI KAPAL DIPERTIKAI
Abu Nadi turut mempersoalkan mengapa jeti itu diperlukan sekarang memandangkan terdapat beberapa lintasan darat yang boleh digunakan.
Seorang lagi penduduk, Abu Nasser Abu Khousa datang ke jalan pantai berhampiran dengan lokasi jeti itu bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun dan sebuah kereta kuda yang ditarik keldai dengan harapan menerima bantuan.
“Kami sedang menunggu bantuan AS, tetapi kami tidak mendapat apa-apa.
“Kami akan kembali esok, insya-Allah! dengan harapan kami akan mendapat sedikit bantuan yang akan membantu kami bertahan,” katanya, sambil menambah bahawa dia kehilangan rumahnya dalam perang dan dipindahkan beberapa kali.
Pegawai AS berkata bahawa sebaik sahaja jeti itu beroperasi, ia akan mengendalikan 90 trak sehari, malah, jumlah itu boleh mencecah 150 trak.
Malah, PBB berkata sekurang-kurangnya 500 trak sehari diperlukan untuk memasuki Gaza.
SETIAP BANTUAN DIPERIKSA ISRAEL
Bantuan yang diturunkan di jeti datang melalui koridor maritim dari Cyprus, tempat ia pertama kali diperiksa oleh Israel.
Dua kapal yang membawa bantuan meninggalkan Cyprus awal bulan ini dan Pentagon berkata lebih 569 tan metrik bantuan dihantar ke Gaza.
“Lebih banyak lagi dalam perjalanan, jadi anda akan melihat jumlah itu meningkat,” kata jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Pat Ryder kepada pemberita.
Tidak jelas berapa banyak daripada 569 tan metrik bantuan yang menurut Pentagon disumbangkan oleh AS, Britain, Emiriah Arab Bersatu dan Kesatuan Eropah yang masih menunggu untuk diangkut dengan trak kontrak PBB.
Akses bantuan ke selatan Gaza terganggu sejak Israel meningkatkan operasi ketenteraan di Rafah, satu langkah yang menurut PBB memaksa 900,000 orang melarikan diri. – REUTERS










