'Tiada tempat selamat hendak dituju' - Utusan Malaysia

‘Tiada tempat selamat hendak dituju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFAH: Lebih 100,000 penduduk melarikan diri dari Rafah yang terletak di selatan Gaza selepas tentera Israel bertindak mengebom bandar itu.  

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan pergerakan itu merupakan perpindahan terbesar populasi di Gaza sejak beberapa bulan lalu. 

Pegawai kemanusiaan berusaha menjejak bilangan sebenar penduduk yang menyelamatkan diri sejak lebih sejuta bertukar status menjadi pelarian dan mencari tempat perlindungan paling selamat.

Angka itu sebenarnya dijangka bertambah, dengan kebimbangan mendalam terhadap individu yang baru berpindah hanya akan berteduh di bawah khemah sementara tanpa sebarang perkhidmatan atau terpaksa memilih tinggal di runtuhan bekas kediaman mereka tanpa keperluan asas untuk hidup. 

“Bandar ini dibelenggu ketakutan dan kegusaran sepanjang masa. Jalan raya penuh sesak dengan kereta, kereta keldai, troli, trak pikap dan pejalan kaki. 

“Ada yang sudah dipindahkan beberapa kali dan cuba membawa barang keperluan untuk perlindungan mereka.

“Kami anggarkan kira-kira 30,000 orang akan berpindah dalam masa beberapa hari. Namun, masalahnya tiada tempat selamat yang boleh dituju dan dilengkapi keperluan asas,” katanya lapor The Guardian. 

Proses perpindahan penduduk dilakukan selepas seorang pegawai kanan Israel memberitahu pusingan baharu rundingan di Kaherah sudah berakhir dan Israel tetap meneruskan operasinya di Rafah dan bahagian lain di Semenanjung Gaza seperti yang dirancang. 

Usaha agensi kemanusiaan menemui jalan buntu selepas rejim Zionis merampas sempadan Rafah, malah situasi bertambah lebih kronik apabila ketiadaan stok bantuan selepas tujun bulan serangan berlalu. 

Khamis lalu, puluhan serangan udara dan pengeboman oleh kereta kebal Israel dilaporkan, manakala Hamas melancarkan roket terhadap tentera Israel. 

Serangan Israel kebanyakannya tertumpu di kawasan kejiranan timur Rafah, sedangkan kawasan itu adalah lokasi yang diarahkan berpindahkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF). 

Lokasi lain juga dilaporkan menjadi sasaran sehingga menyebabkan kematian dan ketakutan semakin menebal. 

KONFLIK AS-ISRAEL

Israel tetap ego melancarkan serangan walaupun ia mendapat tentangan dari Amerika Syarikat (AS). 

Sikap tidak peduli itu secara tidak langsung mencetuskan krisis baharu hubungan antara Israel dengan sekutunya yang paling setia. 

Beberapa hari lalu, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan untuk menyekat bekalan senjata kerana kebimbangan terhadap Israel yang melancarkan serangan di Rafah.

Keputusan Biden mencetuskan kemarahan di Israel dengan beberapa menterinya tidak senang duduk. 

Kelmarin, Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata, negara haram itu akan terus memerangi Hamas sehingga musnah sepenuhnya dan mendabik dada kononnya ‘tiada perang yang lebih adil daripada ini’. 

Menteri Kewangan sayap kanan, Bezalel Smotrich menggesa Rafah ditakluk sepenuhnya dengan lebih cepat. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya