Tentera Israel belum lancarkan serangan skala besar di Rafah - AS

Tentera Israel belum lancarkan serangan skala besar di Rafah – AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyifatkan tentera Israel belum melancarkan ‘operasi darat besar-besaran’ di Rafah yang boleh mengubah polisinya terhadap negara haram itu. 

Jurucakap Keselamatan Negara, John Kirby menjelaskan operasi darat adalah melibatkan jumlah besar tentera dan serangan terancang sedangkan situasi itu belum berlaku di bandar paling selatan di Gaza. 

“Kami tidak melihat mereka menyerang masuk ke Rafah. Kami tidak melihat mereka masuk dengan unit besar atau jumlah tentera yang besar dalam bentuk formasi terhadap pelbagai sasaran di darat. 

“Itulah yang dimaksudkan dengan operasi darat besar-besaran. Kami belum melihat ia berlaku lagi,” katanya kepada wartawan di White House. 

Ditanya mengenai laporan tentera Israel bergerak ke tengah Rafah, Kirby berkata, mereka bergerak di kawasan yang digelar sebagai koridor Philadelphia yang berada di pinggir bandar dan bukan di dalam bandar.

“Kami tidak melihat operasi darat besar-besaran dan segerombolan tentera ini bergerak sepanjang koridor yang akan mereka gunakan di pinggir bandar untuk memberi tekanan kepada Hamas,” katanya. 

Menurut Kirby, Israel menyasarkan dua pegawai kanan operasi Hamas di sebuah kawasan dan tidak berniat membunuh orang awam. 

“Saya tidak tahu kenapa ramai yang menafikan tentera Israel sedang cuba menyerang Hamas dengan cara yang tepat dan terarah,” katanya. 

Serangan Israel di Rafah selama tiga minggu menimbulkan kemarahan dan mencetuskan bantahan daripada pemimpin dunia selepas serangan udara Ahad lalu, yang membunuh 45 mangsa wanita dan kanak-kanak selepas kebakaran tercetus di sebuah kem pelarian. 

Pentadbiran Joe Biden berulang kali memberi amaran kepada Israel agar tidak melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran di Rafah yang dihuni oleh majoriti pelarian. 

Sedangkan, Israel sebelum ini yang mengarahkan rakyat Palestin berpindah ke lokasi itu. 

Awal bulan ini, Biden memberi amaran secara terbuka terhadap Israel akan berhenti membekalkan senjata, jika rejim Zionis itu masih berdegil melancarkan serangan tanpa pelan yang boleh dipercayai untuk melindungi orang awam.

Menurut Israel, kira-kira sejuta orang awam dipindahkan selama hampir lapan bulan ke Al-Mawasi ketika pihaknya melancarkan serangan di Rafah. 

Minggu lalu, Mahkamah Dunia mengarahkan Israel agar menghentikan segera serangan ketenteraan di Rafah selepas Afrika Selatan membongkar salah laku Israel yang melakukan jenayah genosid. -REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya