MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan dua orang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Mekah.
TH memaklumkan, jemaah pertama berusia 64 tahun merupakan seorang lelaki berasal daripada Parit Buntar, Perak yang hadir bersama isterinya ke tanah suci disahkan meninggal dunia di Hospital King Faisal pada 19 Mei, pukul 8.29 malam akibat asma yang teruk.
“Allahyarham merupakan jemaah yang dibawa oleh Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada kumpulan KT79 dan menginap di Al Safwah Hotel di Mekah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, TH berkata, jenazah kedua merupakan seorang jemaah wanita berasal daripada Tawau, Sabah.
Katanya, Allahyarhamah merupakan jemaah dari kumpulan KT82 yang menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer di Mekah, berusia 66 tahun dan hadir bersama suami ke tanah suci.
“Beliau telah disahkan meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 20 Mei, pukul 10.50 pagi akibat serangan jantung,” katanya.
Menurut TH, Kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah.
“TH mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah,” kata TH.-UTUSAN










