SEPANG: Berita gembira buat rakyat Malaysia apabila kesemua 29 rakyat Malaysia yang ditahan serta diculik tentera zionis Israel ketika dalam pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 baru-baru ini telah dibebaskan, hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby pada sidang akhbar sebentar tadi.
Sani Araby berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga buah kapal terbang Turkish Airlines ke Ramon Airport yang terletak di tanah haram Israel untuk memindahkan kesemua aktivis itu.
Menurutnya, kesemua 428 peserta GSF 2.0 itu kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju Lapangan Terbang Ramon, Israel dan dijangka tiba ke Istanbul malam ini.
“Perpindahan itu akan menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan nombor penerbangan TK 6919, TK 6921 dan TK 6925.
“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines tersebut dijangka berlepas dari tanah haram Israel sekitar jam 8 malam waktu Malaysia dan penerbangan ini dijangka tiba di Istanbul pada jam 10 malam waktu Malaysia.
“Mereka akan disambut oleh Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta Kerajaan Turkiye bersama dengan wakil daripada kumpulan Semua Nusantara di Istanbul,” katanya.
Katanya, delegasi akan terbang dan kembali ke tanah air pada 23hb bersamaan hari Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei pada hari Ahad.
Sani Araby berkata, delegasi Malaysia dijangkakan akan melalui fasa pemeriksaan kesihatan di hospital Turkiye kerana dilaporkan untuk ada tahanan yang telah dipukul serta mengalami kecederaan yang teruk.
Menurutnya, SNCC menjangkakan delegasi akan terbang ke tanah air pada 23 Mei ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei ini (Ahad).
Jelasnya lagi, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terharu mewakili seluruh ahli keluarga delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia yang menyokong misi ini.
“Terima kasih juga atas keprihatinan, kepimpinan dan komitmen berterusan Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Menteri Komunikasi, Menteri Besar Selangor serta Kerajaan Malaysia atas pembebasan ini.
“Semua pihak telah menggembleng saluran diplomatik antarabangsa secara strategik dan berkesan bagi melaksanakan rundingan serta memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat diatur dengan selamat,” katanya.-UTUSAN










