KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tampil mempertahankan barisan kejurulatihan Malaysia yang pada padangannya tidak mempunyai sebarang masalah komunikasi dengan para pemain.
Justin berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk memahami apa yang dimahukan oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen sama ada jurulatih itu menerapkan gaya permainan Eropah ataupun Asia.
“Saya rasa pemain dan jurulatih, kita satu pasukan, memang tiada masalah. Sebab kita bekerja bersama-sama. Tak kira gaya Eropah atau gaya Asia, kita cuma bagi komen dan kongsi bersama.
“Saya terima apa jurulatih Kenneth cakap dan diapun terima apa saya cakap. Jadi kita kerja keras, cuma keputusan belum datang lagi. Saya rasa ia bukan satu perkara yang buruk, tapi saya boleh cakap jurulatih dan pemain tiada masalah,” katanya kepada pemberita di Unifi Arena, semalam.
Pemain yang menghuni ranking No. 45 dunia itu menegaskan dia tidak bersetuju jika ada andaian ataupun sebarang spekulasi yang menyatakan hubungan pemain dan jurulatih tidak baik.
Mengulas pula mengenai kritikan peminat yang tidak berpuas hati dengan prestasi perseorangan lelaki, Justin berkata, sejujurnya sektor tersebut kini berdepan banyak tekanan.
“Kita cuba yang terbaik untuk buktikan kepada semua orang yang perseorangan lelaki boleh buat. Tapi saya rasa sebab itu kita semakin tertekan. Tiada apa yang boleh cakap sangat, kami cuma perlu teruskan untuk kejohanan seterusnya,” ujarnya.
Kata Justin, dia tidak boleh menyekat komen negatif daripada peminat dan sebagai pemain, dia hanya mampu mendengar serta cuba melupakan kritikan tersebut.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu turut mengesahkan akan menyertai Terbuka Singapura, minggu depan dan berharap dapat bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan mengiringinya.
“Kita sudah buat yang terbaik. Latihanpun sudah cukup. Saya rasa (faktor) tekanan itu kita tak boleh kawal kerana ada masa naik dan turun. Jadi kita hanya teruskan, tiada apa nak cakap sangat,” katanya. – UTUSAN










