KINMEN: Pengawal pantai Taipei meningkatkan rondaan pada hujung minggu di sekitar pulau terpencilnya yang menyaksikan peningkatan kehadiran kapal China.
Rondaan itu sebelum pelantikan Lai Ching-te sebagai presiden baharu Taiwan.
China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengekalkan kehadiran tentera hampir setiap hari dengan penampilan kerap jet pejuang, dron dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu.
Republik itu juga dalam beberapa bulan kebelakangan ini menghantar kapal pengawal pantai China di sekitar Kinmen, sebuah pulau terpencil yang ditadbir oleh Taipei terletak hanya lima kilometer dari bandar Xiamen, China.
Pentadbiran Pengawal Pantai Taipei berkata, mereka menghantar kakitangan untuk membuat rondaan sepanjang waktu siang dan malam di sekitar tiga pulau terpencil utama Taiwan iaitu Kinmen, Matsu dan Penghu.
“Bagi memastikan keselamatan kawasan laut dan keselamatan sempadan semasa majlis perasmian presiden baharu Taiwan, Bahagian Kinmen-Matsu-Penghu dan Pentadbiran Pengawal Pantai Majlis Hal Ehwal Laut Taiwan sekali lagi melaksanakan operasi rondaan yang kuat untuk memantau dengan teliti sasaran yang mencurigakan.
“Bahagian Kinmen-Matsu-Penghu berkata bahawa kerja keselamatan negara tidak akan kendur semasa perayaan penting,” kata badan kerajaan itu dalam satu kenyataan.
Kinmen menjadi kawasan ketegangan meningkat selepas Ching-te yang disifatkan oleh China sebagai pemisah berbahaya dan dipilih dalam pilihan raya di Taiwan pada Januari lalu. –










