GAZA: Serangan Israel dilaporkan berlaku di seluruh Gaza sehingga pagi hari ini termasuk di sekitar Rafah, kata saksi dan pekerja hospital tempatan.
Lapor Al Arabiya, satu serangan ke atas sebuah pangsapuri di Kota Gaza membunuh tujuh sekeluarga dan mencederakan beberapa orang yang lain.
Operasi Rafah Israel dikatakan bermula beberapa jam selepas Hamas mengumumkan menerima cadangan gencatan senjata, kelmarin.
Bagaimanapun, Israel menolak cadangan itu dan berkata perjanjian itu ‘jauh’ daripada apa yang dipersetujuinya sebelum ini.
Namun, pengumuman kemungkinan gencatan senjata mendorong rakyat Palestin bersorak di jalan raya di Gaza, walaupun penduduk Rafah, Abu Aoun al-Najjar berkata, kegembiraan itu tidak lama.
“Ia ternyata menjadi malam yang berdarah. Israel mencuri kegembiraan kami,” katanya kepada AFP.
Serangan udara Israel ke atas wilayah itu berlaku selepas Israel merampas sempadan utama dengan Mesir, di mana pengantara sedang berusaha untuk memanfaatkan peluang terakhir mereka untuk mengukuhkan perjanjian gencatan senjata.
Selepas berminggu-minggu berikrar untuk melancarkan pencerobohan darat ke bandar sempadan Rafah walaupun mendapat bantahan antarabangsa, kereta kebal Israel bergerak masuk menawan lintasan yang berfungsi sebagai saluran utama untuk bantuan ke wilayah Palestin yang dikepung.
Rakaman tentera Israel menunjukkan kereta kebal mengambil alih kawalan operasi di sebelah Palestin di lintasan Rafah, semalam.
Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai langkah yang sangat penting untuk menewaskan Hamas.
Tetapi jurucakap pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jens Laerke berkata, Israel juga menafikan akses organisasinya ke Rafah dan Kerem Shalom, satu lagi bantuan utama yang melintasi sempadan dengan Israel.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Israel untuk segera membuka semula kedua-dua lintasan kerana menganggap penutupan itu merosakkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah teruk.
Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre menawarkan pandangan yang sama, dengan menyebut penutupan lintasan sempadan itu sebagai tidak boleh diterima.
Beliau berkata lintasan Kerem Shalom dijangka dibuka semula hari ini.










