TRAT: Hidupan akuatik daripada terumbu karang hingga ikan di pantai teluk timur Thailand menderita apabila suhu permukaan laut mencecah paras tertinggi bulan ini di tengah-tengah gelombang panas serantau.
Bahkan, hal ini membimbangkan saintis dan masyarakat tempatan.
Batu karang yang dahulunya segar dan berwarna-warni, kira-kira lima meter di bawah air bertukar menjadi putih dalam fenomena yang dikenali sebagai pelunturan karang.
Menurut saintis, ini menunjukkan tanda kesegaran semakin merosot disebabkan suhu air yang lebih tinggi.
Berdasarkan data, suhu permukaan laut di teluk timur Thailand mencecah 32.73°C awal bulan ini manakala bacaan dalam air sedikit lebih panas, dengan komputer menunjukkan sekitar 33°C.
Ahli biologi marin, Lalita Putchim dari Jabatan Sumber Laut dan Pantai (DMCR) berkata, dia tidak dapat menjumpai satu karang yang sihat selepas selesai menyelam di pantai teluk itu.
“Hampir semua spesies dilunturkan, sangat sedikit yang tidak terjejas.”
“Jika suhu air tidak sejuk, lebih banyak karang akan mati. Ia mendidih global, bukan hanya pemanasan global,” katanya.
Kepulauan Trat adalah rumah kepada lebih 66 pulau dengan lebih 28.4 kilometer persegi (2,841 hektar) terumbu karang, di mana Lalita mendapati sehingga 30 peratus daripada hidupan karang mengalami pelunturan dan lima peratus sudah mati.
Peningkatan suhu juga memberi kesan kepada hidupan marin lain dan mata pencarian nelayan tempatan termasuk Sommay Singsura.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil tangkapan makanan laut hariannya semakin berkurangan.
Sebelum ini, dia mampu membuat sehingga 10,000 baht (AS$275 atau RM1,296) sehari, tetapi kini kadang kala dia pulang dengan tangan kosong.
“Dulu ada ikan nangka, tenggiri pendek, dan lain-lain lagi. Tetapi sekarang, keadaan tidak baik. Cuaca tidak seperti dahulu,” keluh Sommay.
Terumbu karang adalah sumber makanan dan habitat untuk hidupan marin serta menjadi penghadang semula jadi yang menghalang hakisan pantai, kata saintis. -REUTERS










