HULU SELANGOR: Kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu masih berada di fasa ‘awal’ dan ‘belum panas’.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, lazimnya ketika permulaan kempen PRK sememangnya PH tidak mengadakan ceramah yang ‘panas’
Menurut beliau, PH menggunakan strategi dengan mengadakan kempen ceramah kelompok berbanding mengadakan ceramah besar-besaran sebaik sahaja fasa pertama berkempen diselesaikan.
“Hujung minggu ini kita akan mulakan ceramah-ceramah besar bermula pada malam Jumaat ini, saya akan turun ke Batang Kali (dan) kita akan adakan ceramah, pentas besar bersama dengan kepimpinan pusat.
“Kempen tetap berjalan cuma kadangkala tiada jemputan media sebab malam biasanya melakukan lawatan rumah ke rumah atau ada perjumpaan di bilik gerakan dan sebagainya,” katanya ketika hadir ke Fazlina Maju Bistro, di sini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han dan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.
Melalui pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, Perikatan Nasional (PN) kerap mengadakan ceramah besar dengan menampilkan pemimpin-pemimpin utamanya seperti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, cara untuk berkempen di kawasan pendalaman dan bandar adalah berbeza.
“Di kawasan bandar memang setiap malam akan ada ceramah tetapi di kawasan luar bandar kita tidak (adakan) setiap malam ceramah (besar). (Namun), ceramah kelompok tetap diadakan.
“Kawasan ini bukan semua pengundi bertumpu di satu tempat (tetapi) banyak tempat. Jadi kita fokus kepada lokaliti masing-masing,” katanya.- UTUSAN










