Netanyahu enggan tamatkan perang di Gaza - Utusan Malaysia

Netanyahu enggan tamatkan perang di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak tekanan antarabangsa untuk menghentikan perang di Gaza. 

Sebaliknya, beliau terbuka kepada perjanjian bagi menamatkan sementara pertempuran selama hampir tujuh bulan dengan syarat membawa pulang tebusan Israel yang ditawan Hamas. 

Malah, beliau tetap komited melancarkan pencerobohan bandar Rafah di selatan Gaza, walaupun mendapat tentangan meluas oleh masyarakat antarabangsa kerana lebih sejuta orang awam berlindung di kawasan itu.  

“Jika Israel terpaksa berdiri sendiri, Israel akan berdiri sendiri.

“Tiada tekanan atau keputusan oleh mana-mana forum antarabangsa akan menghalang Israel daripada mempertahankan diri,” katanya semasa berucap dengan nada berapi-api sempena Hari Peringatan Holocaust. 

Yom Hashoah adalah hari yang disambut Israel bagi memperingati enam juta orang Yahudi yang dibunuh oleh Nazi Jerman dan sekutunya semasa Holocaust. 

Ia adalah tarikh penting dalam kalendar negara haram itu yang disambut di Yad Vashem, di Baitulmuqaddis. 

Untuk rekod, terdapat kira-kira 245,000 mangsa Holocaust yang masih hidup di seluruh dunia. 

Ahad lalu, Netanyahu menyelar mereka yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin. 

Beliau mendakwa kononnya Israel melakukan segala tindakan bagi memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza. 

Pemimpin dunia mengutuk serangan tentera Israel yang mengorbankan banyak nyawa dan menggesa kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata. 

Dalam pada itu, Netanyahu membandingkan gelombang protes besar-besaran di kampus Amerika Syarikat dengan universiti di Jerman pada 1930an. 

Beliau mengutuk ‘letupan gunung berapi antisemitisme yang memuntahkan lahar pembohongan yang mendidih terhadap Israel di seluruh dunia’. 

Hampir 2,500 pelajar ditangkap semasa gelombang protes di kampus dan kolej AS. 

Protes lebih kecil juga dianjurkan di negara lain termasuk Perancis. 

Penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan pelajar menolak tuduhan antisemitisme dan menegaskan mereka mengkritik tindakan Israel. -AP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN