Netanyahu bengang tiga negara Eropah iktiraf negara Palestin

Netanyahu bengang tiga negara Eropah iktiraf negara Palestin

KANAK-KANAK Palestin tidak dapat menahan kesedihan selepas memeriksa kerosakan di Nuseirat berikutan pengeboman Israel, baru-baru ini. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak boleh menerima kenya­taan dan memberitahu bahawa rancangan Sepanyol, Ireland serta Norway untuk mengiktiraf negara Palestin adalah serupa dengan pemberian ganjaran untuk keganasan.

Hal ini berikutan Ireland, Norway, dan Sepanyol me­ngumumkan sokongan mereka dan mengiktiraf negara Palestin, kelmarin.

Malah, Netanyahu mendakwa sebanyak 80 peratus rakyat Palestin di Tebing Barat menyokong pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat pada 7 Oktober lalu.

“Kejahatan ini tidak boleh diberikan kepada sebuah negara. Ia akan menjadi negara pengganas. Ia akan cuba mengulangi pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober lalu dan kami tidak akan bersetuju dengan itu.

“Hadiah untuk keganasan tidak akan membawa ke­amanan dan ia tidak akan menghalang kita daripada mengalahkan Hamas,” katanya seperti dilapor Times of Israel.

GESA HUKUMAN KEPADA PIHAK BERKUASA PALESTIN

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang menggesa Netanyahu untuk bertindak balas dengan mengenakan tindakan hukuman yang keras terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) termasuk memotong kewa­ngan kepada Ramallah.

“Pada mesyuarat Kabinet lalu, ramai menteri termasuk saya sendiri membangkitkan tuntutan yang tidak berbelah bahagi untuk tindakan hukuman keras terhadap PA kerana tindakan unilateralnya terhadap Israel termasuk mengejar pengiktirafan unilateral,” tulis Smotrich kepada Netanyahu dalam surat.

Smotrich memaklumkan Ne­tanyahu bahawa dia berhasrat untuk mengambil tindakan segera untuk memotong pemindahan dana kepada badan pentadbiran Palestin itu.

Malah, beliau tidak akan melanjutkan indemniti yang diberikan kepada bank Israel yang memindahkan dana kepada bank di Tebing Barat.

BATAL MEKANISME PINDAH GAJI

Beliau juga menggesa membatalkan mekanisme yang ditubuhkan dengan Norway untuk memudahkan pemindahan gaji kepada pekerja PA di Gaza selain menuntut Israel meluluskan beribu-ribu rumah penempatan baharu sebagai tindakan balas.

Walaupun Amerika Syarikat (AS) menolak keputusan Ireland, Norway, dan Sepanyol dengan mengatakan bahawa sebarang penyelesaian dua negara mesti dibuat melalui rundingan, Penasihat Ke­selamatan Negara AS, Jake

Sullivan bagaimanapun mengkritik niat Smotrich untuk menahan dana kepada PA.

“Saya rasa ia salah. Saya fikir ia salah secara strategik kerana menahan dana menjejaskan kestabilan Tebing Barat, ia menjejaskan pencarian keselamatan dan kemakmuran rakyat Pa­lestin demi kepenti­ngan Israel,” kata Sullivan.

Sullivan berkata, adalah sa­lah untuk menahan dana yang menyediakan barangan dan perkhidmatan asas kepada rakyat Palestin.

PEMBERIAN DANA PERLU DITERUSKAN

Dari perspektif AS, katanya, dana tersebut harus terus berjalan dengan semua perlindu­ngan yang diperlukan.

Malah, Menteri Luar Israel, Israel Katz juga memberitahu pihaknya memanggil semula duta Israel dari Ireland, Sepa­nyol, dan Norway untuk run­dingan segera.

“Saya menghantar mesej yang tidak berbelah bahagi. Israel tidak akan membiarkan perkara ini berlaku secara se­nyap-senyap,” kata Katz.

Dia juga memanggil wakil tiga negara itu di Israel untuk memberi teguran keras dan berkata mereka akan ditunjukkan rakaman penculikan lima askar wanita Israel pada 7 Oktober lalu semasa serangan mengejut Hamas. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN