TEHRAN: Keadaan sebenar tentang apa yang berlaku kepada helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dan Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian masih tidak jelas.
Helikopter yang dinaiki Ebrahim dan Hossein dikatakan melakukan pendaratan cemas di wilayah Julfa, barat laut ibu negara Iran, Tehran.
Malah, dilaporkan helikopter berkenaan membawa dua lagi nama tetamu berkaliber tinggi yang memegang jawatan tertinggi dalam kalangan pembuat keputusan Iran.
Dua tetamu yang turut terkorban dalam nahas helikopter tersebut ialah Mohammad Ali al-Hashim, seorang imam di Tabriz serts wakil pemimpin tertinggi Iran di wilayah Azerbaijan Timur dan Gabenor Azerbaijan Timur, Malik Rahmati.
Malik adalah sebahagian daripada pasukan presiden.
Insiden helikopter terhempas berlaku semalam di hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di wilayah Azarbaijan Timur ketika Ebrahim pulang dari acara untuk merasmikan empangan dengan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Penduduk tempatan memberitahu kepada wartawan rasmi kerajaan, IRNA bahawa mereka mendengar bunyi dentuman di wilayah itu.
Lebih daripada 20 pasukan mencari dan menyelamat yang serba lengkap, termasuk dron dan anjing pengesan, dihantar ke kawasan itu.
Angkatan Tentera Iran juga mengerahkan unit komando dan Pasukan Khas untuk membantu dalam operasi mencari.
Disebabkan keadaan muka bumi yang lasak di rantau itu dan keadaan cuaca yang sukar, terutamanya kabus tebal di kawasan itu, operasi mencari dan menyelamat mungkin mengambil sedikit masa, kata wartawan IRNA.
Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Iran, Babak Yektaparast memberitahu IRNA bahawa lapan ambulans dihantar ke wilayah itu, sambil menambah bahawa kabus tebal menyebabkan usaha menyelamat udara mustahil.
Yektaparast berkata, pasukan perubatan kecemasan yang terdiri daripada juruteknik dan doktor dikerahkan ke lokasi sejurus kejadian itu dilaporkan.
Tambahnya, sebuah helikopter kecemasan turut dihantar untuk memberi bantuan, tetapi terpaksa berpatah balik kerana kabus tebal kerana ia tidak dapat mendarat di kawasan itu.-IRNA










