KAHERAH: Mesir mengancam menarik diri sebagai orang tengah atau pengantara dalam rundingan gencatan senjata Gaza.
Tindakan itu selepas perisikan Mesir mengubah syarat cadangan gencatan senjata baru-baru ini dan membatalkan perjanjian.
Ketua Mesir, Diaa Rashwan berkata, negaranya mungkin menarik diri sepenuhnya daripada menjadi pengantara kerana terdapat usaha yang menyinggung usaha mereka.
“Percubaan untuk menimbulkan keraguan dan menyinggung usaha pengantaraan Mesir hanya akan membawa kepada komplikasi lanjut keadaan di Gaza dan seluruh wilayah serta mungkin mendorong Mesir untuk menarik diri sepenuhnya daripada pengantaraannya dalam konflik semasa,” katanya.
Rashwan berkata bahawa penyertaan Mesir sebagai pengantara adalah hasil daripada permintaan dan desakan berulang daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Mesir berkata beberapa pihak baru-baru ini menyalahkan pengantaranya dan Qatar selain menuduh mereka berat sebelah, tambahnya.
Ketegangan semakin memuncak antara Mesir dan Israel berhubung operasi ketenteraan Israel di Rafah di hujung selatan Gaza, tepat di seberang sempadan Mesir.
Memetik tiga orang yang biasa dengan perbincangan itu, CNN melaporkan perisikan Mesir mengubah syarat cadangan gencatan senjata yang dipersetujui Israel pada awal bulan ini.
Apabila Hamas mengumumkan pada 6 Mei lalu bahawa ia menerima perjanjian itu, ia bukanlah cadangan yang difikirkan oleh rakan-rakan pengantara dari Amerika Syarikat (AS) dan Qatar yang diserahkan kepada Hamas untuk semakan, menurut CNN.
Perubahan yang dibuat oleh perisikan Mesir menyebabkan kemarahan dan tuduhan dalam kalangan pegawai AS, Israel dan Qatar serta menyebabkan kebuntuan dalam rundingan, kata laporan CNN.
Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns yang mengetuai usaha pengantaraan AS, bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan itu.
Sejak perang antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Oktober lalu, Mesir menyuarakan kebimbangan bahawa kempen Israel boleh mendorong penduduk kawasan terkepung Palestin melintasi sempadannya, di mana ia telah meningkatkan keselamatan. -REUTERS










