JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang akan digunakan sepanjang musim haji tahun ini.
Menterinya, Dr. Tawfiq Al-Rabiah berkata, pelancaran kad itu antara siri pembaharuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.
Jelasnya, kad jemaah haji Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji melalui penggunaan teknologi yang canggih.
“Kad ini akan memudahkan pelaksanaan ibadah haji serta mengurangkan kes menunaikan haji secara haram.
“Ia direka bentuk supaya mudah dibaca secara automatik, memudahkan petugas haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah dan menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki tanah suci sekaligus memastikan aspek keselamatan jemaah haji,” katanya lapor Saudi Gazette.
Kad itu dikeluarkan dalam format digital dan fizikal. Salinan cetakan kad itu akan dihantar kepada jemaah haji melalui syarikat pengendali haji masing-masing.
Salinan digital boleh didapati melalui akaun jemaah haji di aplikasi Nusuk dan Tawakkalna.
Jemaah haji hanya perlu mengimbas kod QR pada kad yang dicetak dan mengikuti arahan untuk mendapatkan versi digital kad itu.
Kad itu juga mengandungi butiran mengenai pengendali haji masing-masing, cara berkomunikasi, jadual kumpulan dan alamat kediaman.
Aduan dan pemerhatian juga boleh disalurkan melalui kad digital berkenaan sepanjang menunaikan Rukun Islam kelima itu.









