PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesahkan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang berhadapan isu teknikal meliputi masalah bekalan elektrik dan kelembaban tinggi.
Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan JKN Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, isu itu sedang ditangani dan diambil tindakan oleh pihak kontraktor utama di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum pengoperasian di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS dimulakan.
“Walaupun Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS belum dapat digunakan, perkhidmatan pembedahan kardiotorasik masIh dilaksanakan di Dewan Bedah Kardiotorasik di Bangunan Utama HSIS di samping rujukan pesakit ke Institut Jantung Negara (IJN).
Berita berkaitan:
“Selain perkhidmatan pembedahan kardiotorasik yang ditawarkan di HSIS, pihak Kementerian Kesihatan juga telah mengambil inisiatif penyumberluaran pesakit yang memerlukan perkhidmatan rawatan pembedahan kardiotorasik ke fasiliti swasta.
“Inisiatif ini dalam peringkat akhir perancangan dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal.
Sumber yang rapat dengan pusat jantung berkenaan mendakwa, kira-kira 1,000 prosedur pembedahan jantung tidak dapat dijalankan susulan masalah tersebut.
Lebih menyedihkan, semua bilik bedah di bangunan lama turut tidak dapat digunakan akibat masalah sama.
Mengulas lanjut, Dr. Ummi Kalthom berkata, proses pembaikan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS yang sedang dalam pelaksanaan dan inisiatif penyumberluaran akan mampu mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan pembedahan kardiotorasi.
“JKNS akan memantau rapat untuk memastikan tindakan pembaikan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS disegerakan demi kelangsungan perkhidmatan,” katanya. –UTUSAN











