MARAN: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dari Chenor Seberang di sini memerlukan RM10,000 hingga RM20,000 bagi mengubah suai bilik tidur dan membina tandas khas bagi memudahkannya menguruskan diri.
Ismail Othman, 40, yang dahulunya seorang pemuda aktif tetapi kemampuannya menguruskan diri sendiri hilang sekelip mata apabila lumpuh setelah terlibat kemalangan melanggar kerbau di Kampung Sekara, Chenor lapan tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibunya, Rogayah Abu Bakar, 63, berkata, kemalangan pada 2014 itu berlaku menjelang senja apabila Ismail atau mesra dipanggil Mail terlanggar sekumpulan kerbau yang berkampung di atas jalan raya.
Katanya, akibatnya kemalangan itu, anaknya pengsan dan mengalami kecederaan parah di kepala.
“Kesan hentakan kuat di kepala, pembedahan segera dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membuang darah beku di bahagian kiri kepala Ismail.
“Komplikasi pembedahan itu, anak saya hilang upaya kekal lumpuh seluruh badan, tidak boleh bercakap dan banyak menghabiskan masa duduk di kerusi roda dan terlantar,” katanya di sini semalam.
Rogayah berkata, sejak lapan tahun lalu, segala urusan harian seperti makan minum, mandi dan ke tandas dibantu ahli keluarga terutama ayahnya, Othman Mat Aris.
“Kini tanggungjawab menguruskan Ismail terletak sepenuhnya di bahu saya apabila ayahnya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dua bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, Ismail pernah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Pusat Giat Mara, Chenor selama setahun sebelum terlibat kemalangan ini.
“Saya menaruh harapan anak saya ada membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tapi selepas lapan tahun tiada maklumat. Mungkin dia tidak mencarum,” katanya.
Bagaimanapun beliau bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan RM300 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian yang semakin bertambah ketika ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atas nama Rogayah Abu Bakar di akaun Bank Rakyat 220101460280.- utusan











