KUALA KANGSAR: Punca kematian seorang wanita yang dikatakan berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam di sini petang tadi dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham dengan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Tambahnya, polis turut menjumpai sebilah pisau disyaki senjata yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.
Katanya, lebih kurang pukul 2.38 petang tadi, pihak Balai Polis Kati menerima satu laporan berkaitan kejadian seorang perempuan Melayu berumur 49 tahun yang dijumpai mati di dalam sebuah rumah di Kampung Cheh Kati.
“Kejadian telah disedari oleh ahli keluarga si mati pada tarikh yang sama jam lebih kurang 2.15 petang yang terus membuat panggilan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, siasatan pihak polis mendapati ahli keluarga telah menyedari si mati berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Jelas Heisham, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohamad Fadhil Ab. Wahab, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222. – UTUSAN











