Korea Selatan tawar perdamaian, kerjasama dengan Pyongyang

Korea Selatan tawar perdamaian, kerjasama dengan Pyongyang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengemukakan tawaran perdamaian dan kerjasama kepada Korea Utara, sambil menggesa pemulihan dialog serta kewujudan bersama secara aman menerusi ucapan rasminya pada Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam ucapan berkenaan, Jae Myung menggariskan tiga pelan tindakan bagi mewujudkan keamanan iaitu saling menghormati dan mengiktiraf perbezaan, kewujudan bersama yang stabil melalui mekanisme pengurusan krisis serta kewujudan secara bertanggungjawab yang mempromosikan keamanan di rantau Asia Timur Laut dan global.

“Kami akan terus menghormati Korea Utara di pentas antarabangsa dan menguji ruang kerjasama di mana sahaja yang mungkin,” kata beliau sambil merujuk kepada potensi kerjasama dalam bidang kesihatan awam, pengurusan bencana dan krisis iklim.

Jae Myung turut menzahirkan harapan agar dialog antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) yang lama terhenti dapat dipulihkan semula tanpa sebarang kelewatan.

“Kami akan menyediakan asas agar usaha ini berkembang menjadi dialog antara pihak-pihak terlibat bagi menamatkan peperangan di Semenanjung Korea, sekali gus beralih kepada perdamaian,” katanya.

Beliau menambah proses tersebut akan dimulakan dengan menghentikan kemajuan lanjut keupayaan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, diikuti dengan pengurangan dalam tempoh sederhana dan akhirnya melahirkan Semenanjung Korea yang bebas daripada ancaman nuklear.

“Pencapaian sebenar PBB tidak terletak semata-mata pada angka dan carta laporan atau pengisytiharan yang dibuat di bilik persidangan.

“Peranan sebenar PBB hanya akan terbukti apabila gelak tawa kanak-kanak menggantikan tembakan senjata, apabila orang muda dapat menikmati peluang belajar, bekerja dan menyahut cabaran baharu, serta apabila sesiapa sahaja, di mana sahaja, boleh memilih untuk menjalani kehidupan yang mereka inginkan,” kata Jae Myung.

Selain fokus kepada keselamatan Korea, beliau turut menyeru penglibatan lebih besar golongan belia dalam proses pembuat keputusan antarabangsa dengan meluaskan peluang penyertaan mereka.

Menyentuh mengenai isu perubahan iklim, beliau menegaskan tiada mana-mana negara mampu menangani cabaran tersebut secara bersendirian, manakala tindakan mengabaikan pertumbuhan ekonomi tidak akan membolehkan semua pihak bergerak seiring.

Bercakap mengenai rantai bekalan tenaga global, beliau mengutarakan kebimbangan berhubung sekatan di Selat Hormuz dan Laut Merah, sambil memberi amaran tindakan mempersenjatai laluan tenaga dan logistik utama boleh memberi kesan buruk kepada penduduk di seluruh dunia.

Jae Myung menegaskan kebebasan pelayaran dan laluan selamat merupakan hak di bawah undang-undang antarabangsa, manakala serangan ke atas kapal dagang serta ancaman terhadap keselamatan anak kapal tidak boleh dijustifikasikan sama sekali bawah apa jua keadaan.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyatakan Seoul akan memperkukuh kerjasama mengenai rantai bekalan tenaga, termasuk menerusi kerangka kerja sedia ada seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi membolehkan gangguan bekalan daripada merebak menjadi ancaman yang lebih besar kepada ekonomi global dan kehidupan seharian masyarakat dunia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×