China beri amaran kepada AS jangan sentuh isu Taiwan, hak asasi

China beri amaran kepada AS jangan sentuh isu Taiwan, hak asasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Duta Besar China ke Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memberi amaran isu Taiwan dan hak asasi manusia merupakan ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar, sekali gus menetapkan pendirian tegas Beijing menjelang sidang kemuncak pemimpin di Washington minggu ini.

Lapor Reuters, Presiden China, Xi Jinping dijadualkan melawat Washington bagi menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden AS, Donald Trump, ketika kedua-dua belah pihak berusaha membawa kestabilan kepada hubungan dua hala yang sebelum ini diwarnai pertikaian merangkumi isu perdagangan hingga ke status Taiwan.

Menerusi penulisan di akhbar rasmi Parti Komunis yang memerintah, People’s Daily, Duta Besar, Xie Feng menegaskan usaha menguruskan perbezaan bergantung kepada niat baik, manakala AS perlu menghentikan amalan mencipta dalih seperti isu keselamatan negara, ketidakseimbangan ekonomi dan buruh paksa untuk mengekang China.

“Apabila China dan AS bekerjasama, kedua-dua negara bakal mendapat manfaat, namun sekiranya berlaku konfrontasi, kedua-dua pihak akan menanggung kerugian.

“Kepentingan kedaulatan, keselamatan dan pembangunan China tidak boleh dilanggar, manakala empat garis merah iaitu isu Taiwan, demokrasi dan hak asasi manusia, laluan serta sistem pembangunan dan hak untuk membangun, tidak boleh dicabar.

“China komited untuk mengejar pembangunan secara aman dan berharap AS juga akan bergerak ke arah yang sama,” katanya lagi.

China secara berterusan menuntut Taiwan yang ditadbir secara demokratik sebagai sebahagian daripada wilayahnya, berlawanan dengan bantahan keras yang disuarakan oleh kerajaan di Taipei.

AS merupakan pembekal senjata dan penyokong antarabangsa paling penting bagi Taiwan, di mana Beijing telah berulang kali mendesak agar sebarang penjualan senjata kepada pulau berkenaan dihentikan serta-merta.

Menyusuli sidang kemuncak di Beijing pada Mei lalu bersama Jinping, Trump memaklumkan beliau menangguhkan pakej penjualan senjata baharu bernilai kira-kira AS$14 bilion (RM56.9 bilion) sambil menyifatkannya sebagai modal rundingan yang amat baik.

Seorang pegawai kanan keselamatan Taiwan memberitahu wartawan, Beijing memandang sebarang kelewatan dalam penghantaran senjata AS sebagai langkah langsung untuk memperlahankan pengukuhan ketenteraan wilayah itu, sekali gus memberi lebih ruang kepada China untuk meluaskan tekanan di sekitar Taiwan, Jepun dan Filipina.

China berkemungkinan menggunakan pelbagai tawaran galakan termasuk pembelian barangan AS atau maklum balas berhubung ketegangan di Asia Barat bagi meyakinkan Trump pengurangan komitmen ketenteraan AS di rantau berkenaan boleh dibalas dengan kerjasama yang lebih luas daripada Beijing, kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Pegawai itu turut menambah, pihak ketenteraan China meningkatkan kehadiran kapal perang, pengawal pantai dan kapal penyelidikan secara mendadak di sekitar Taiwan, Laut China Selatan dan Laut China Timur, serta mengumpul data seperti maklumat kabel bawah laut yang berpotensi digunakan bagi tujuan peperangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×